Adakah Ahlul Bait Rasulullah SAW Pada Zaman Ini Boleh Menerima Zakat?

Posted on Friday, July 12, 2019 | 7/12/2019




Soalan:
Boleh saya dapatkan penjelasan berkaitan larangan golongan Ahlul Bait seperti Syed & Syarifah untuk menerima dan makan hasil daripada pemberian zakat? Sebab ada golongan yang berpegang dengan perkara tersebut dan ada yang tidak berpegang dengan perkara tersebut. Terima kasih.

Jawapan:
Dalam menjelaskan dan menjawab soalan daripada isu yang diajukan ini, adalah lebih baik kami mulakan dengan definisi ringkas zakat itu sendiri. Menurut istilah syara’, zakat merupakan kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/629-630)

Daripada kekotoran harta itu, lalu ia diagihkan kepada penerima yang selayaknya. Maka dengan doa penerima itu akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Siapakah yang layak menerima zakat ini?

Hanya beberapa golongan (asnaf) yang dibenarkan untuk menerima dan mengambil zakat sepertimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Mengikut yang dinaskan di dalam al-Quran, golongan asnaf yang berhak menerima zakat terbahagi kepada lapan kategori. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang dalam perjalanan panjang. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah: 60)

Jelas daripada firman Allah SWT ini, zakat merupakan harta yang disedekahkan oleh orang yang kaya untuk diberikan kepada golongan asnaf bagi kegunaan dalam kehidupan mereka.

Berbalik kepada persoalan yang dibincangkan, Kita perlu mengetahui bahawasanya, Nabi Muhammad SAW adalah insan yang tidak menerima dan dilarang untuk menerima segala hasil zakat dalam kehidupan baginda. Bahkan, larangan menerima hasil zakat ini juga termasuk kepada seluruh ahli keluarga dan kerabat baginda.

Namun begitu, para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan susur galur ahli keluarga dan kerabat Nabi Muhammd SAW. Berpandu pada konteks di Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie, adalah baik bagi kami menjawabnya dengan pandangan ulama’ daripada kalangan As-Syafieyah.

Imam Nawawi menyatakan bahawa larangan untuk menerima zakat adalah dikenakan kepada ahli keluarga Nabi Muhammad SAW dari susur galur Bani Hasyim dan Abdul Muttalib. (Rujuk Kitab Syarah Nawawi ala Muslim, m/s 146)

Sheikh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menerusi penulisan beliau di dalam kitabnya menyatakan bahawa susur galur Bani Hasyim adalah keluarga Abbas, keluarga Ali, keluarga Aqil, keluarga Jaafar dan keluarga Haris bin Abdul Mutalib serta anak-anaknya. (Rujuk kitab Taqrirat Sadidah fi Masail Mufidah, m/s 426)

Konklusinya, jika ditelusuri susur galur Bani Hashim dan Abdul Muttalib lalu salasilahnya sampai kepada Rasulullah SAW. Maka beliau adalah Ahli Bait iaitu keturunan dan ahli keluarga Nabi SAW. Maka beliau dilarang untuk menerima apa-apa zakat.

Buktinya adalah sepertimana yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW berkenaan isu tersebut. Hadis riwayat Abu Hurairah menyatakan bahawa:

أَخَذَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَمْرَةً مِنْ تَمْرِ الصَّدَقَةِ فَجَعَلَهَا فِي فِيهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِخْ كِخْ لِيَطْرَحَهَا ثُمَّ قَالَ أَمَا شَعَرْتَ أَنَّا لَا نَأْكُلُ الصَّدَقَةَ ‏(‏متفق عليه‏)‏‏.‏‏
Hasan bin Ali (cucu kepada Nabi Muhammad SAW) mengambil sebiji kurma (tamar) daripada kurma sedekah lalu meletakkan ke dalam mulutnya. Maka Nabi SAW lantas berkata: “Kih!! kih!! (ia merupakan perkataan dan isyarat kepada Sayyidina Hassan untuk mengeluarkannya daripada mulut) buangkannya, apa kamu tidak mengetahui, bahawasanya keturunan kami tidak makan harta sedekah (zakat).”

Begitu juga hadis Nabi SAW:

إِنَّ هَذِهِ الصَّدَقَةَ إِنَّمَا هِيَ أَوْسَاخُ النَّاسِ ، وَإِنَّهَا لَا تَحِلُّ لِمُحَمَّدٍ وَلَا لِآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Sesungguhnya sedekah (zakat) adalah kotoran manusia, tidak halal untuk Muhammad SAW dan keturunan Muhammad SAW.” (Riwayat Muslim, no. 1072)

Bertitik tolak daripada hadis berikut, maka jelas ia merupakan dalil bagi ahli keluraga baginda untuk tidak mengambil sebarang bentuk zakat mahupun sedekah. Walau bagaimanapun, terdapat sumber lain yang layak diterima dan diambil oleh ahli keluraga Nabi SAW seperti:

1. Hadiah

Sabda Nabi SAW:

إِذَا أُتِيَ بِطَعَامٍ سَأَلَ عَنْهُ أَهَدِيَّةٌ أَمْ صَدَقَةٌ ؟ فَإِنْ قِيلَ صَدَقَةٌ‏ ,‏ قَالَ لأَصْحَابِهِ كُلُوا‏ ,‏ وَلَمْ يَأْكُلْ، وَإِنْ قِيلَ هَدِيَّةٌ‏ ,‏ ضَرَبَ بِيَدِهِ صلى الله عليه وسلم فَأَكَلَ مَعَهُمْ
Jika datang sesuatu makanan di hadapan Rasulullah SAW, beliau akan bertanya: “Apakah ini hadiah atau sedekah?” Apabila dikatakan “Sedekah” maka beliau berkata kepada para sahabatnya untuk makan dan beliau tidak makan. Sekiranya ia adalah hadiah, baginda mengisyaratkan dengan tangannya (tanda terima) lalu baginda makan bersama para sahabat. (Riwayat Bukhari, no. 2576)

2. Khumus (1/5 daripada jumlah)

Firman Allah:

وأما الخمس الذي يعطاه آل البيت فهو سهم ذوي القربى من خمس الغنيمة ومن الفيء
“Sesungguhnya khumus yang diberikan kepada Ahlul Bait merupakan bahagian yang ditetapkan kepada kaum kerabat baginda yang datang dari khumus ghanimah dan fa’i.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, m/s 4/59)

3. Anfal atau Ghanimah (Harta rampasan perang yang melalui proses pertempuran)

Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنْفَالِ قُلِ الْأَنْفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ
Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah SWT dan Rasul.” (Surah Al-Anfal: 1)

Sebahagian Ulama’ mena’wilkan Anfal dengan maksud Ghanimah. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, m/s 358)

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ
“Ketahuilah bahawasanya apa sahaja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya khumus (1/5) untuk Allah SWT, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang dalam perjalanan panjang.” (Surah Al-Anfal: 41)

4. Fa’i (harta rampasan perang yang tidak melalui proses pertempuran)

Firman Allah SWT:

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan panjang.” (Surah al-Hasyr: 7)

Namun begitu, sebahagaian ulama’ Syafieyah menyatakan bahawasanya Ahlul Bait boleh menerima dan menggunakan zakat jika sekiranya terhalang atau tidak ada lagi khumus seperti zaman Nabi SAW. Pandangan ini dinyatakan oleh Sheikh Abi Sa'id al-Istakhri, Sheikh Muhammad bin Ahmad bin Abi Yusuf Al-Harawi, Sheikh Abdul Rahman bin Abdul Karim (Ibn Ziyad), Sheikh Abdul Salam bin Muhammad (An-Nasyari), Sheikh Ali bin Muhammad bin Ibrahim (Ibnu Muthir). (Rujuk kitab Al-Umm, m/s 2/81 dan Kitab Taqrirat Sadidah fi Masail Mufidah, m/s 427)

Berikut merupakan pandangan hukum berdasarkan agensi dan badan kefatwaan negara lain:

1. Darul Ifta’ Jordan

Bagi sesiapa yang mengikut dan bertaklid kepada mazhab Maliki dan sebahagian Syafie, pada masalah ini dibenarkan untuk diberikan zakat kepada Ahlul Bait yang tergolong sebagai asnaf. (No. Fatwa: 2023)

2. Fatwa Lajnah Daimah

Sekiranya terhalang atau tidak ada khumus sepertimana yang berlaku pada zaman sekarang; maka dibenarkan dan layak untuk mengambil zakat sekiranya tergolong dalam golongan fakir dan tidak bekerja. (Fatwa lajnah Daimah, m/s 10/68)

Hakikatnya kini, peperangan atau jihad tidak lagi berlaku. Maka atas sebab itu, natijahnya, tidak ada hasil daripada harta rampasan perang seperti fa’i dan ghanimah. Apabila tidak ada fa’i dan ghanimah, sudah pasti tidak akan ada harta khumus yang terhasil untuk disalurkan kepada Ahlul Bait Rasulullah SAW.

Rumusan bagi isu ini, sekiranya sah susur galur mereka sampai kepada salasilah keturunan Rasulullah SAW, kami cenderung kepada pendapat yang membenarkan kepada kalangan Ahlul Bait untuk menerima sedekah atau zakat. Namun begitu, ia tertakluk kepada syarat jika ia merupakan Ahlul Bait yang termasuk di dalam golongan asnaf, maka di atas hajat dan darurat tertentu maka ia dibenarkan untuk mengambil zakat. Wallahu’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/12/2019

0 comments:

Loading...