Bekerja Sebagai Ibadah Meningkatkan Sikap Integeriti

Posted on Tuesday, July 09, 2019 | 7/09/2019



Bekerjalah

Kita sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bersifat sebagai pelaksana dan penegak kepada agama serta bersiyasah dengannya. Kita memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan kepada kita. Justeru, dalam melayari bahtera kehidupan, soal makan minum, tempat tinggal dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu tempat adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh. Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan.

Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Yang penting adalah halal dan tidak bertentangan dengan Syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan. Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah. Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
“Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” [Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)]

Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadah. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku, Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama. Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip, matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar.

Sesiapa yang mengumpul duit melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian, ataupun apa-apa amalan yang terlarang, dia melakukannya dengan tujuan membina sebuah masjid ataupun melancarkan program kebajikan, niatnya yang murni itu tidak mampu memberi kebaikan kepada dirinya. Ia tidak membuat dia terlepas daripada dosa melakukan perkara haram. Ini kerana, perkara haram itu tidak terkesan ataupun luak dengan niat dan tujuan si pelaku. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 30)

Cabaran dalam Mencapai Integriti

Sebenarnya cabaran dalam melayari kehidupan khususnya ketika menjawat jawatan dalam perkhidmatan sama ada kerajaan, berkanun atau swasta amatlah banyak. Justeru, bagi menanganinya sudah pasti perlu mengenali sifat-sifat mazmumah yang menghalang integriti. Banyak halangan untuk mencapai dan merealisasikan sifat integriti yang unggul. Antaranya seperti berikut:

Pertama: Rasuah

Rasuah mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: “Al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya.” (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa jua urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini.

Kedua: Khianat

Khianat ialah perbuatan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al-Anfal: 27)

Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: “Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 9/195)

Ketiga: Birokrasi

Birokrasi ialah sistem pemerintahan dan cara pentadbiran yang melibatkan berbagai-bagai peringkat atau proses pengurusan dan banyak peraturan. Ia juga bermaksud sistem pemerintahan atau pentadbiran yang dikendalikan atau dijalankan oleh pegawai-pegawai kerajaan (yang tidak dipilih kerajaan). Cara pemerintahan atau pentadbiran dengan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa yang besar.

Sistem penyampaian maklumat serta tugasan yang berkesan tidak akan berlaku jika tiada kerjasama daripada peringkat atasan hingga ke peringkat pelaksana. Begitu juga dengan birokrasi yang menebal dalam perkhidmatan awam.

Keempat: Berdusta atau Berbohong

Ia bermaksud berkata yang tidak benar. Menurut Kamus Dewan, bohong ditakrifkan sebagai berlainan daripada yang sebenarnya (cerita, keadaan, dan lain-lain).

Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas`ud RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا ، وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” [Riwayat al-Bukhari (6094)]

Kelima: Bertangguh

Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ
“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: “Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.” [Riwayat al-Bukhari (6053)]

Orang yang mengerti nilai waktu tidak membiarkan waktunya habis dengan sia-sia, tetapi dia berusaha memenuhinya dengan amalan yang berguna. Ini kerana dia sedar waktu adalah umurnya. Habisnya bererti kurang umurnya dan kurang pula amalnya. Padahal, amal itulah persediaan hidup yang paling bermanfaat untuk sepanjang zaman.

Ibn Umar R.Anhuma dalam wasiatnya itu berkata: “Gunakanlah dari sihatmu bagi masa sakitmu dan dari hidupmu bagi masa matimu.” Ini bermaksud masa sihat dan masa hidup di dunia hendaklah digunakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya untuk amal dan pekerjaan yang berguna untuk mendatangkan faedah di kemudian hari dan hendaklah menghargai masa tersebut sebelum datang masa sakit dan masa mati. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 379-380)

Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.” [Riwayat Muslim (2999)]

Keenam: Melepak dan Membuang Masa

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, lepak ialah budaya atau tabiat yang merupakan amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti remaja-remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah.

Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُم وَالْجُلُوسَ في الطُّرُقاتِ، فقَالُوا: يَا رسَولَ اللَّه، مَا لَنَا مِنْ مَجالِسنَا بُدٌّ، نَتحدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ رسولُ اللَّه ﷺ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِس فَأَعْطُوا الطَّريقَ حَقَّهُ، قالوا: ومَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رسولَ اللَّه؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَر، وكَفُّ الأَذَى، ورَدُّ السَّلامِ، وَالأَمْرُ بالْمَعْروفِ، والنَّهْيُ عنِ الْمُنْكَرِ
“Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan.” Lantas mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya.” Lantas sabda Nabi SAW: “Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan.” Sahabat bertanya: “Apa itu hak jalan wahai Rasulullah.” Jawab Baginda: “Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.” [Riwayat al-Bukhari (5875) dan Muslim (114)]

Penyelesaiannya

Untuk penyelesaian isu integriti dan cara mengatasi halangan yang menjejaskan integriti, ia terlalu banyak sama ada melalui pendekatan agama, muhasabah, etika akhlak, undang-undang, nasihat atau kaunseling dan lain-lain. Tetapi yang paling utama adalah, ia bertitik tolak daripada kesedaran diri yang tinggi dalam mengatasinya. Antaranya:

Pertama: Dengan berasaskan kepada pendekatan agama.
Jika dilihat daripada perkataan al-Din dalam bahasa Arab, ia membawa beberapa pengertian. Antaranya:

  • Pembalasan
  • Kebiasaan
  • Ibadat
  • Ketaatan
  • Perhitungan
  • Paksaan
  • Kemenangan
  • Ketinggian
  • Kesultanan
  • Pemerintahan
  • Perjalanan
  • Pentadbiran
  • Keesaan, nama bagi segala perkara yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT dan agama.

Antara yang penting dalam penyelesaian isu ini adalah tauhid kepada Allah SWT. Ia bermaksud mengEsakan Tuhan dan pada syaraknya pula bermaksud mengEsakan Allah SWT dengan ibadat serta meyakini keEsaan tersebut pada zat, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.

Kepercayaan kepada agama akan meningkatkan integriti seseorang dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Kedua: Muhasabah

Muhasabah atau menghitung diri adalah sebahagian daripada jalan dalam mencapai ma’rifatullah. Muhasabah diri memerlukan persediaan hati yang penuh sedar, pemikiran yang celik dan terbuka, serta sensitif kepada bisikan-bisikan nafsu dan syaitan.

Ketiga: Perubahan Minda

Reformasi minda perlu dijadikan pendorong kepada ummah agar tidak merelakan diri diperlekehkan. Satu isyarat jelas perlu diberi kepada dunia bahawa umat Islam tidak miskin idea, bahkan tetap cekal merealisasikan aspirasi negara melalui kejayaan bertaraf dunia.

Jack Ma, seorang tokoh korporat di dunia pada masa kini pernah menyebut: “Dalam mencapai kejayaan, seseorang individu atau organisasi amat memerlukan kepada tiga perkara iaitu; matlamat yang jelas, visi yang baik dan nilai.”

Keempat: Tekun dan Dedikasi

Itqan (tekun) dalam bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun, dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.” [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza]

Antara kepentingan tekun dalam bekerja ialah:

  • Ia adalah wasilah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT.
  • Allah SWT kasih kepada orang-orang yang tekun dalam dalam bekerja sebagaimana hadith di atas.
  • Barangsiapa yang tekun dalam pekerjaannya akan memudahkan urusan orang lain dan mengelakkan daripada keletihan.
  • Sifat tekun akan membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga orang yang sambil lewa ketika bekerja.
  • Tekun juga akan menambahkan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Kelima: Memelihara Waktu

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Seorang mukmin hendaklah pandai menyusun dan mengaturkan masanya dalam menghadapi pelbagai tugas pekerjaan dan amalan, sama ada yang berhubung kait dengan urusan keagamaan dan keduniaan, sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa berat sebelah. Jangan sampai perkara yang kurang penting menjejaskan perkara yang penting dan perkara yang penting menjejaskan yang paling penting. Jangan pula perkara yang yang mesti dilakukan pada waktu tertentu terjejas disebabkan perkara yang tidak mempunyai waktu tertentu. Dengan demikian, sesuatu yang harus dilakukan dengan segera hendaklah ditunaikan terlebih dahulu. Hendaklah dikebelakangkan perkara yang bukan bersifat segera. Sesuatu yang mempunyai waktu tertentu wajib dilakukan tepat pada masanya.”

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُوْنٌ فِيْهما كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ : الصِّحَّةُ والفَرَاغُ
“Dua kenikmatan yang kebanyakan manusia terpedaya dengan keduanya iaitu; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang.” [Riwayat al-Bukhari (6412), al-Nasa`i (2304) dan Ibnu Majah (4309)]

Nikmat ialah apa-apa yang didapati oleh manusia dan dapat berlazat dengannya. Sedangkan perkataan ghibn ialah orang yang membeli dengan harga yang melampau berkali ganda daripada harga yang biasa. Sesiapa yang sihat badannya sedangkan dia menggunakan masa untuk perkara yang tidak baik dan tidak bersegera untuk membaiki urusan akhiratnya, maka dia samalah seperti orang yang kerugian dalam jual beli. Maksud kebanyakan manusia di sini ialah mereka tidak mengambil manfaat ketika dikurniakan sihat dan masa lapang bahkan mereka menggunakan kedua-duanya pada tempat yang tidak sepatutnya.

Alangkah baiknya kalau mereka dapat menggunakan setiap satu dari keduanya yakni kesihatan dan masa lapang untuk perkara yang mendatangkan faedah. Ibn al-Jauzi berkata: “Boleh jadi seseorang sihat namun dia tidak ada waktu lapang kerana dia sibuk untuk menanggung kehidupannya. Dan boleh jadi seseorang itu kaya dan dia mampu (berharta) tetapi dia pula tidak sihat. Oleh kerana itu, apabila berhimpun dua perkara, biasanya manusia akan dikalahkan dengan perasaan malas untuk melakukan ketaatan, lantas dia digelar sebagai maghbun iaitu orang yang mendapat kerugian. Lebih-lebih lagi kita faham, dunia ini adalah ladang akhirat. Padanya dilakukan perniagaan yang dizahirkan keuntungannya di akhirat. Sesiapa yang menggunakan masa lapang dan kesihatannya dalam mentaati Allah, maka merekalah yang beruntung. Sesiapa yang menggunakan kedua-duanya, yakni pada masa sihat dan juga pada masa lapang untuk melakukan maksiat kepada Allah, maka merekalah golongan yang amat rugi kerana biasanya, masa lapang itu akan diikuti selepasnya dengan kesibukan dan waktu sihatnya pula akan diikuti selepas itu dengan kesakitan. Sekalipun tidak begitu, maka cukuplah waktu tua dan lemah akan menjadi kerugian baginya. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 13-14)

Keenam: Sabar

Nilai sabar amat tinggi di sisi Allah SWT. Ini berdasarkan kepada banyak nas sama ada al-Quran atau hadis.

Sabar bermaksud tahan dalam menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi di antara sifat sabar itu, sabar dalam mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah lebih utama daripada sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.

Ketujuh: Etika Akhlak

Kemuliaan akhlak merupakan matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” [Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (273), Ahmad (8952) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21301)]

Antara etika akhlak tersebut ialah:

  • Menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhah
  • Memelihara pandangan
  • Memelihara lidah
  • Bersifat pemalu
  • Bersifat lemah-lembut dan sabar
  • Bersifat benar
  • Bersifat tawadhu’
  • Menjauhi buruk sangka dan mengumpat
  • Bermurah hati dan lain-lain.

Justeru, marilah kita menghiasi diri kita dengan sifat-sifat mahmudah dan dengan akhlak yang unggul dalam meningkatkan mutu pekerjaan yang dilakukan.

Penutup

Pada dasarnya, dengan wujudnya iman, tauhid dan takwa terhadap Allah SWT dalam diri, maka ia sudah pasti akan memberi impak yang maksima kepada seseorang untuk menjadikan dirinya benar-benar berintegriti. Hal ini jelas terbukti pada zaman Rasulullah SAW dan generasi sahabat yang ditarbiyah dengan kekuatan hati yang beriman dan bertauhid. Mereka bukan sahaja menjadi sebaik-baik ummah, bahkan memimpin tamadun kemanusiaan mengikut acuan syariat Islamiyah.

Seorang yang soleh telah merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Katanya: “Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu.

  1. Tamak dan buruk sangka. Maka cara menghadapinya adalah dengan sifat berpada dengan apa yang ada.
  2. Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan. Maka cara menghadapinya adalah dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
  3. Cintakan kerehatan dan kemewahan. Maka cara menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
  4. Kagum terhadap diri sendiri (`ujub). Cara menghadapinya dengan merasa terhutang budi kepada Allah SWT.
  5. Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Cara menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
  6. Hasad (dengki). Cara menghadapinya dengan sifat berpada (qana`ah) dan redha terhadap kurniaan Allah SWT kepada makhluk-Nya.
  7. Riya’ dan sukakan pujian orang ramai. Cara menghadapinya dengan sifat ikhlas.
  8. Bakhil (kedekut). Cara menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah SWT.
  9. Takabbur (membesar diri). Cara menghadapinya dengan rasa tawadhu’ (merendah diri).
  10. Tamak haloba. Cara menghadapinya dengan meyakini ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.

Kami menutup perbincangan ini dengan mengajak kita semua untuk sama-sama menekuni firman Allah SWT:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” [Surah al-Qasas (26)]

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/09/2019

0 comments:

Loading...