Dato Seri Vida Bagi Aishah Pilih Barang Kemas


Jutawan kosmetik yang paling vogue, Dato Seri Vida mengharapkan kemelut yang melanda dirinya tentang pemberian palsu kepada Juara Gegar Vaganza musim keempat iaitu Aishah akan reda selepas penyerahan barang kemas dan berlian.

Dalam satu sidang media semalam, beliau memaklumkan bahawa beliau serahkan sepenuhnya kepada Aisyah untuk membuat pilihan barangan kemas seperti yang diinginkannya. Vida juga mengakui konflik yang melanda memberi kesan kepada perniagaannya, khususnya perniagaan barangan kemas.

"Kalau diikutkan, saya boleh saja pilih sendiri barang kemas itu dan serahkan kepada Aishah. Nama pun hadiah, sepatutnya begitulah caranya. Tetapi saya nak bagi dia puas hati, saya tak mahu timbul isu lagi. Jadi saya berikan dia sendiri buat pilihan yang mana dia berkenan.

"Kedai yang dipilih juga bukan sebarangan kedai. Kalau selalunya dalam sebulan saya boleh dapat RM10 juta hingga RM15 juta, selepas jadi begini, boleh dikatakan 80 peratus keuntungan menurun," katanya.

Bukan itu sahaja, Vida juga bersetuju melunaskan kos guaman yang perlu ditanggung Aishah, seperti yang dituntut penyanyi Janji Manismu itu. Beliau juga memaklumkan tidak serik untuk menaja mana-mana program selepas ini, namun mengambil apa yang terjadi sebagai iktibar.

Tambahan pula, beliau memberitahu bahawa bayaran untuk membeli kesemua barangan kemas yang dipilih Aishah dibuat anaknya, Cik B melalui keuntungan jualan produk salmon king yang dipeloporinya.

"Saya tidak serik. Taja program itu satu strategi pemasaran untuk perniagaan saya. Saya pun tidak menipu. Barang kemas yang saya hadiahkan itu, memang nilainya seperti yang sebutkan dulu. Tetapi masa berlalu, nilainya semakin turun.

"Ini pengajaran untuk saya lebih berhati-hati apabila nak bagi hadiah lagi. Memang saya terharu. Setiap hari saya mengadu dengan dia tentang masalah saya, rupa-rupanya dia mendengar dan nak membantu," katanya.

Aishah memilih lima jenis barangan kemas dan berlian, antaranya sebentuk cincin emas dengan berlian bernilai RM20,820 dan sebentuk cincin emas putih bernilai RM7,750.

Harga keseluruhan barangan yang dipilih Aishah bernilai RM80,000, seperti yang dijanjikan Vida semasa kemenangannya sebagai juara Gegar Vaganza 4. Aishah sebelum ini mendakwa satu penyelidikan yang dijalankan rantai yang dimenanginya mengesahkan bahawa ia tidak bernilai dan bukan berlian asli.

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.



Oh! Makan


Sumber: Oh! Media