Hukum Abang Susuan Menjadi Wali Kepada Adik Susuannya

Posted on Wednesday, July 03, 2019 | 7/03/2019



Soalan:
Saya ada kemusykilan tentang adik beradik susuan. Adakah abang susuan boleh menjadi wali kepada adik susuannya? Dan sekiranya telah berkahwin apakah status perkahwinan itu?

Jawapan:

Pengertian al-Rada’

Al-Rada’ (Penyusuan):

  • Perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)
  • Susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat: al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)

Kesan Terhadap Kekeluargaan

Penyusuan yang mencukupi syaratnya akan menyebabkan hubungan kekeluargaan itu akan menjadi mahram. Ini seperti mana firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.” (Surah al-Nisa’, 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA sabda Nabi SAW kepada anak Sayyidina Hamzah RA:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
“Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.” [Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)]

Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Nawawi menyatakan: “Penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya (mahram muabbad). Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri.” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 10/23)

Kesan daripada penyusuan itu, hubungan anak susuan dengan ibu susuan dan suaminya serta keturunannya adalah tertakluk kepada dua hukum yang asas, iaitu:

  • Diharamkan berkahwin diantara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya).
  • Dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama.

(Lihat: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)

Untuk keterangan yang lebih terperinci, apa yang didatangkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji:

Jika seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu menjadi anak susuannya dan suaminya pula menjadi bapa susuan anak tersebut. Kesan penyusuan ini kepada hubungan kekeluargaan adalah sebagaimana berikut:

Anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Keturunan ibu susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:

  • Saudara perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah ibu susuan.
  • Anak perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada ibu susuan kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada susuan kerana dia ialah nenek susuan.

Seperti keturunan bapa sendiri, keturunan bapa susuan yang haram dikahwini adalah seperti berikut:

  • Saudara perempuan kepada bapa susuan kerana mereka ialah ibu saudara sebelah bapa susuan.
  • Anak perempuan kepada bapa susuan, sekalipun dengan isteri yang lain kerana mereka ialah saudara susuan.
  • Cucu perempuan kepada bapa susuan, kerana mereka ialah anak perempuan kepada saudara susuan.
  • Ibu kepada bapa susuan, kerana dia ialah nenek susuan.
  • Ibu susuan dan keturunannya haram berkahwin dengan anak susuan dan keturunannya. Ini kerana jika ibu susuan diandaikan sebagai ibu sendiri kepada anak susuan, sudah tentu mereka semua merupakan keturunan yang haram dikahwini.

Sebagaimana anak susuan tidak boleh berkahwin dengan anak perempuan ibu susuan kerana dia merupakan saudara susuannya. Begitu juga cucu lelaki susuan daripada anak perempuan ibu susuan bapanya kerana dia merupakan ibu saudara susuan sebelah bapa dan begitulah seterusnya.

Ibu susuan dan keturunannya harus berkahwin dengan ahli keluarga anak susuannya, seperti saudara lelaki, bapa dan bapa saudara sebelah bapa kerana mereka ialah orang asing daripada ibu susuan dan keturunannya (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 3/124)

Wali

Wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Maksud orang lain ialah orang yang tidak mampu menguruskan dirinya, orang gila dan perempuan yang baligh dalam kekuasaan wali bukan mujbir, iaitu bapa dan datuk.

Di antara syarat sah nikah adalah wali ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari RA, Sabda Nabi SAW:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ
“Tidak sah pernikahan kecuali dengan adanya wali.” [Riwayat Abu Daud (2085) Tirmidzi (1101) dan Ibn Majah (1881)]

Susunan atau tertib Wali Perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, abang susuan merupakan mahram disebabkan dengan susuan kepada adik susuannya. Dan hubungan itu menyebabkan haram dalam perkahwinan sama seperti hubungan keturunan.

Begitu juga dihalalkan melihat saudara susuannya seperti melihat saudara perempuannya sendiri. Ini seperti seorang lelaki halal apabila:

  • Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
  • Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
  • Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.

Ini seperti Firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.” (Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, abang susuan tidak boleh menjadi wali kepada adik perempuan susuannya. Ini kerana tidak ada persamaan nasab di antara keduanya.

Hal ini dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan, tidak disabitkan dengan penyusuan terhadap pembahagian wilayah (wali) kerana tidak terdapat dalil yang sabit ke atas hukum kekeluargaan dalam bahagian penyusuan. (Lihat: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/327)

Dan sekiranya tidak terdapat wali ab’ad atau wali aqrab, maka hak pernikahan itu jatuh kepada wali hakim. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Sayyidatina Aisyah R.anha, Sabda Nabi SAW:

السُلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهُ
“Sultan wali bagi orang yang tiada wali.” [Riwayat Abu Daud (2083) dan al-Tirmidzi (1102)]

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefaqihan dan kefahaman dalam agama sehingga kita dapat melaksanakannya dalam kehidupan kita. Amin. Wallahua'lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/03/2019

0 comments:

Loading...