“Kursus Keibubapaan Di Perluas Demi Memperkasa Institusi Kekeluargaan” - TPM


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini memperluas kursus keibubapaan dibawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Menurut menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail insiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bagi memberi tambah nilai dalam skil keibubapaan dalam kalangan masyarakat ketika ini.

“Untuk makluman semua, Kementerian Sumber Manusia telah mengiktiraf bidang kemahiran keibubapaan (Parenting Skills) dalam senarai latihan bidang berdaftar di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

“Bermula 9 Julai, LPPKN telah dilantik sebagai Penyedia Latihan Keibubapaan Berdaftar kepada majikan sektor swasta untuk tempoh tiga tahun,” jelas Wan Azizah.

Bagi projek perintis itu, pembiayaan melalui pemberian insentif yuran latihan kepada majikan yang berdaftar dengan HRDF berjumlah RM62,500 bakal memanfaat 500 ibu bapa.

Tambah Wan Azizah, kerjasama antara pihak HRDF dan LPPKN itu perlu disambut baik oleh semua majikan di negara ini dalam memberi peluang kepada pekerja mereka menghadiri kursus berkenaan.

Ujarnya, ibu bapa perlu kreatif dalam memastikan institusi kekeluargaan terus diperkasa.

Sehingga kini, LPPKN tambahnya telah menjalankan 21,561 program pendidikan kekeluargaan melibatkan 2.7 juta peserta di seluruh negara.

Sumber: Awani

Sumber: Oh! Media