PBSNT setuju saranan tubuh jawatan Pengarah Teknikal


KUALA NERUS, 11 Julai - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju dengan saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) diwajibkan mempunyai jawatan Pengarah Teknikal.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sedang menunggu makluman dan arahan rasmi daripada FAM sebelum membuat sebarang tindakan.

Jelasnya, Terengganu yang sedang menumpukan kepada proses penswastaan pasukan yakin usaha berkenaan pasti akan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

“Saya sudah dimaklumkan tentang keperluan untuk mewujudkan Pengarah Teknikal bagi semua pasukan dalam Liga-M, tetapi secara rasminya pihak Malaysian Footbal League (MFL) belum mengeluarkan arahan kepada persatuan bola sepak negeri.

“Sekarang kita juga fokus menuju ‘penswastaan’ persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab (FC), jadi itu yang menjadi fokus kita sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah melakukan lawatan kerja ke trek olahraga dan Stadium Gong Badak, di sini hari ini.

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh menjelaskan, hasrat untuk menubuhkan jawatan tersebut sebenarnya telah dibincangkan oleh PBSNT pada akhir tahun lepas.

Katanya, disebabkan kekangan kewangan semasa, idea dan cita-cita tersebut terpaksa dilupakan buat sementara waktu.

“Tetapi apabila ada arahan daripada MFL sendiri, perkara itu akan kita sambut dan fikir jalan terbaik untuk melaksanakannya, ideanya telah ada,” tambahnya.

Kelmarin, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan, jawatan Pengarah Teknikal wajib diwujudkan dalam setiap pasukan yang bersaing dalam Liga-M.

"Kita perlu menekankan perkara ini (pembangunan akar umbi) untuk memastikan ahli gabungan daripada persatuan bola sepak negeri ini lebih serius dan ia bermula dengan mereka perlu melantik Pengarah Teknikal.

“FAM akan menetapkan jawatan Pengarah Teknikal sebagai mandatori dalam perlesenan kelab dan saya serius mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia. - Teganukita.net