Terengganu FC hairan MFL diam isu rayuan import


TERENGGANU FC (TFC) boleh diibaratkan menanti buah yang tidak gugur selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum memberi jawapan berhubung rayuan skuad itu untuk mendaftar pemain import yang sudah mempunyai Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) di negara ini.

Malah lebih perit ketika aksi Liga Super berbaki empat perlawanan lagi, MFL bagaikan tidak mahu melayan permintaan pendaftaran khas daripada badan induk bola sepak negeri itu walaupun surat sudah dihantar dua minggu lalu.

Menurut sumber daripada PBSNT, sehingga hari ini tidak ada sebarang surat hitam putih daripada MFL sama ada membenarkan atau sebaliknya berhubung permohonan khas daripada PBSNT itu.

“Selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sah enggan mengeluarkan ITC kepada pemain import baru TFC, Luis Gustavo Camilo sejak dua minggu lalu, PBSNT segera menghantar permohonan kepada MFL untuk membolehkan TFC mengikat pemain import baru yang sudah ada ITC di Malaysia.

“Namun sehingga kini, PBSNT masih belum menerima surat hitam putih daripada MFL berhubung perkara itu sama ada menolak permohonan itu atau menerimanya.

“Ini kerana pemain pertahanan import diperlukan skuad TFC bagi mengharungi baki empat perlawanan Liga Super sebelum bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini,” kata sumber itu.

PBSNT sebelum ini menamatkan kontrak pemain kelahiran Montenegro, Igor Zonjic sehari sebelum jendela kedua perpindahan pemain ditutup pada 29 Mei lalu dengan harapan dapat mengikat Camilo yang ketika itu masih berada di Brazil.

Bagaimanapun impian skuad Penyu itu untuk menggunakan khidmat Camilo musnah apabila FIFA menolak permohonan PBSNT untuk mendapat ITC pemain itu hanya disebabkan terlewat 30 saat mengemukakan satu dokumen penting dalam sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) sebelum ditutup.

Ironinya skuad yang kehilangan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan mengejut pada 15 Mei lalu kini gagal menggunakan khidmat pemain pertahanan import dan kini hanya ada satu lagi ‘talian hayat’ iaitu memanggil pertahanan Terengganu FC II (TFC II) kelahiran Ukraine, Serhii Andrieiev bagi memperkasakan lagi benteng skuad itu.

Mengulas lanjut, sumber itu bagaimanapun mengharapkan MFL mempertimbangkan permohonan khas PBSNT dengan kadar segera bagi membolehkan pemain import baharu diserapkan dalam skuad.

“Kita masih menunggu jawapan daripada MFL, kita harap ada berita gembira untuk kita mengikat pertahanan import baharu,” ujar sumber itu.

Sebelum ini, PBSNT menyatakan sudah ada pemain import baharu untuk menggantikan tempat Camilo dan kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MFL. - Harian Metro