Terengganu FC tanpa Nafuzi Zain


“PASUKAN berada di landasan tepat untuk memburu kemenangan,” kata penolong ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik apabila pasukannya menentang Kedah pada aksi Liga Super pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Kenyataan bekas pemain tengah kebangsaan itu yang memikul tugas selaku pemangku ketua jurulatih selepas 'nakhodanya’ Nafuzi Zain menghadiri kursus Kejurulatihan Lesen Profesional di Kuala Lumpur sehingga 19 Julai ini bukannya cakap kosong.

Sebaliknya keyakinan itu berdasarkan prestasi terkini selepas merakam dua kemenangan berturut-turut menumpaskan Kuala Lumpur 3-1 di laman sendiri dan terbaru memalukan PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam Jumaat lalu.

“Jika dilihat pada dua aksi terakhir, ternyata pemain begitu bersemangat dan semakin meningkat prestasi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.

“Prestasi ini jika ditingkatkan lagi, pemain mampu menyaingi pasukan lawan dan seterusnya momentum kemenangan pasti dapat dicapai untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri. Justeru saya harap pemain mempamerkan aksi bertenaga dan lebih mantap,” kata Mohamad.

Pada aksi pusingan pertama April lalu, Mohamad yang ketika itu mengetuai barisan jurulatih selepas bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menghadiri kursus Kejurulatihan Lesen Profesional terpaksa pulang tangan kosong selepas tumpas 0-3 kepada skuad Helang Merah itu.

Perlawanan malam ini ujian kedua kepada bekas pemain Terengganu itu untuk membuktikan kemampuan apatah lagi skuadnya turun tanpa kelibat pertahanan import.

Bagaimanapun, Mohamad lega apabila penyerangnya, Mohd Ashari Samsuddin sudah kembali pulih daripada kecederaan dan bakal diturunkan selepas berehat panjang. - Harian Metro