Teruskan Puasa Enam Atau Berbuka Puasa Jika Dijemput Ke Jamuan Raya?

Posted on Friday, July 05, 2019 | 7/05/2019



Soalan:
Saya ingin berpuasa enam, akan tetapi selalu dijemput ke rumah terbuka atau jemputan hari raya. Saya risau sekiranya tidak hadir akan membuatkan mereka berkecil hati. Soalan saya yang manakah lebih afdhal dan lebih utama, puasa enam atau majlis tersebut.

Jawapan:

Kelebihan Puasa Enam

Maklum mengetahui kelebihan puasa enam di bulan Syawal. Ini kerana kebaikan selama setahun seperti yang dijanjikan di dalam hadis riwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari RA, sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang puasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” [Riwayat Muslim (1164)]

Jumhur Fuqaha’ berpendapat puasa enam selepas Ramadhan merupakan perkara sunat yang dituntut (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 28/92)

Dalam membincangkan berkenaan dengan kelebihan puasa enam, Imam al-Son’ani menyatakan bahawa kelebihan setahun itu bermaksud digandakan 10 kebaikan dalam sehari di bulan Ramadhan. Ini bermaksud, bersamaan dengan setahun iaitu sepuluh bulan pada bulan Ramadhan dan dua bulan pada bulan Syawal. (Lihat: Subul al-Salam, 1/582)

Dan disunatkan berpuasa secara berturut-turut selepas hari Raya Aidilfitri, namun diharuskan sekiranya berpuasa secara berselangan hari atau di akhir bulan Syawal, ini kerana umum hadis. Adapun berpuasa secara berturut-turut selepas hari raya lebih afdhal. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/209)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa: “Di sisi Mazhab Syafie, hukum puasa enam di bulan Syawal adalah sunat kerana sangat jelas perintah untuk melakukannya. Selain itu, yang paling afdhal ialah puasa enam hari secara berturut-turut, namun bagi mereka yang berpuasa berasingan dan melewatkan sehingga ke akhir Syawal, tetap mendapat pahala kerana meneruskan puasa di dalam bulan Syawal sebagai kesinambungan daripada Ramadhan. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim 8/56).

Dalam menceritakan tentang kelebihan puasa enam ini, Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan di dalam kitabnya, bahawa puasa di dalam bulan Syawal dan Syaaban seperti sembahyang sunat rawatib sebelum solat fardhu dan selepasnya. Ianya bertujuan bagi menyempurnakan kekurangan dan kecacatan pada solat fardhu itu. Sesungguhnya setiap amalan fardhu itu akan diperelokkan dan disempurnakan dengan amalan sunat. Ini seperti yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW. Dan kebanyakan manusia yang melakukan puasa wajib tidak dapat lari daripada kekurangan dan kecacatan, oleh itu puasa sunatlah yang akan memperbaiki dan menyempurnakannya. (Lihat: Lataif al-Ma’rifah li Ibnu Rajab, 1/220)

Dibenarkan Berbuka Puasa Sunat

Berbuka puasa sunat dengan sengaja adalah makruh dan tidak diwajibkan mengqada’kannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA sabda Nabi SAW:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
“Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.” [Riwayat al-Tirmidzi (32)]

Selain itu, dibenarkan berbuka puasa sunat ketika dijemput ke sesuatu majlis jamuan makan. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Abu Said al-Khudri RA:

دَعَا رَجُلٌ إِلَى طَعَامٍ فَقَالَ رَجُلٌ إِنِّي صَائِمٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاكُمْ أَخَاكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ أَفْطِرْ وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ إِنْ شِئْتَ
Setelah dihidangkan makanan, salah seorang daripada sahabat berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Lalu Rasullullah SAW bersabda: “Saudara kalian telah menjemput dan bersusah payah untuk kalian.” Lalu Baginda bersabda: “Buka dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu.”

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyatakan hadis ini sanadnya dhoif akan tetapi disokong oleh riwayat yang lain. (Lihat: Fathul al-Bari li Ibnu Rajab, 9/248)

Dan sekiranya, apabila seseorang itu berpuasa sunat kemudian dijemput menghadiri majlis jamuan, para ulama daripada mazhab Syafi’e dan Hanbali berpendapat sunat berbuka sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah. Ini kerana dibenarkan untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain. Oleh sebab itu, ia akan memberi kegembiraan di hati tuan rumah yang menjemputnya. Dan sekiranya ia tidak memberatkan tuan rumah itu, maka afdhal untuk meneruskan puasanya. (Lihat: al-Maus’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/118)

Selain itu, Baginda SAW mengajar supaya berdoa. Apabila seseorang itu berpuasa kemudian dijemput mengahdiri majlis jamuan makan. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ فَإِنْ كَانَ صَائِمًا فَلْيُصَلِّ وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا فَلْيَطْعَمْ
“Apabila dijemput seseorang daripada kamu maka hendaklah ia memenuhi jemputan itu. Sekiranya ia berpuasa, hendak dia berdoa. Dan sekiranya dia tidak berpuasa, hedaklah dia makan.” [Riwayat Muslim (1431)]

Imam Nawawi menyatakan di dalam syarahnya bahawa maksud (فَلْيُصَلِّ) menurut jumhur ulama, bahawa ia bermaksud mendoakan bagi yang menyediakan makanan dengan keampunan dan keberkatan serta selainnya. Dan asal perkataan (فَلْيُصَلِّ) dari sudut bahasa adalah doa.

Dan sekiranya ia berpuasa sunat harus berbuka apabila memberi kesusahan ke atas saudara yang menyediakan majlis itu, dan ini lebih afdhal. Namun sekiranya tidak, lebih baik menyempurnakan puasa itu. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 9/236)

Kesimpulan

Amalan melakukan puasa sunat Syawal merupakan perkara yang dituntut syarak serta banyak kelebihan dan fadhilatnya. Selain itu ia dapat menampung kekurangan dan kecacatan yang terdapat pada amalan puasa di bulan Ramadhan.

Berbalik kepada persoalan di atas, berdasarkan kepada dalil yang diberikan, sebaiknya memaklumi kepada tuan rumah bahawa dia berpuasa serta melihat keadaan majlis itu. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ وَهُوَ صَائِمٌ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
“Sekiranya seseorang daripada kamu dijemput menghadiri jamuan makan, sedangkan dia sedang berpuasa, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” [Riwayat Muslim (1150)]

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan: “Ucapan saya sedang berpuasa sebagai memohon kemaafan dan memberitahu bahawa dia sedang berpuasa. Namun sekiranya orang yang menjemputnya itu memberi kebenaran dan tidak menuntutnya hadir maka gugurlah kewajipanya. Dan sekiranya dituntut untuk menghadirinya, menjadi tanggungjawabnya memenuhi tuntutannya. Puasa bukanlah sebagai alasan untuk tidak menghadirinya. Apabila menghadiri majlis itu, maka dibolehkan dia berbuka.” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 8/28)

Oleh itu, dapat disimpulkan kepada beberapa keadaan:
Sekiranya dengan berpuasa, tuan rumah tidak keberatan serta memahaminya, maka boleh diteruskan puasanya dan berdoa agar tuan rumah mendapat keberkatan dan kebaikan dengan majlis yang dianjurkannya.
Sekiranya dengan berpuasa itu, tuan rumah merasa keberatan dan akan membebankannya dengan tempahan yang berkemungkinan akan berlaku pembaziran dan sebagainya, maka afdhal membatalkan puasanya itu. Ini dapat menjaga perasaan dan menyuburkan silaturrahim.

Selain itu, dicadangkan kepada sesiapa yang ingin menyediakan majlis jamuan di bulan Syawal, sebaiknya dia mengadakannya di waktu petang hingga ke malam. Ini bagi membolehkan kesemua pihak meraikannya.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefaqihan dan kefahaman dalam agama sehingga kita dapat melaksanakannya dalam kehidupan kita. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 7/05/2019

0 comments:

Loading...