Tiada tindakan lanjut untuk kes pangsapuri Tok Mat di London

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (JPN) mengekalkan status tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes pembelian pangsapuri mewah bernilai RM10 juta membabitkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata perkara itu diputuskan JPN pada 2 Mei lalu, selepas meneliti semula kertas siasatan yang dikemukakan kepada jabatan itu pada April lalu.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes ini sudah selesai dan kertas siasatan dikemukakan kepada JPN pada 2011.

“Pada 2013, JPN memutuskan tiada tindakan pendakwaan dalam kes ini dan siasatan telah dihentikan. Bagaimanapun, pada April 2019, kertas siasatan dikemukakan untuk penelitian semula.

“Pada 2 Mei 2019, JPN mengekalkan keputusan ‘No Further Action’ (NFA) setelah meneliti hasil siasatan,” katanya dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) yang bertanya apakah hasil siasatan SPRM mengenai kes penggubahan wang 10 juta melalui penggurup wang ke London untuk pembelian sebuah pangsapuri mewah di London, yang didakwa dilakukan Mohamad.

Kes membabitkan Mohamad itu dibangkitkan semula pada April lalu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, apabila Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Sembilan, Sahrizal Masrudin membuat laporan SPRM berhubung perkara berkenaan.

Dalam laporannya, Sahrizal mendakwa cara pemindahan wang itu tidak melalui prosedur biasa, selain meragui sumber wang tunai RM10 juta milik Mohamad yang ketika itu baru empat tahun dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pada 2009, Mohamad didakwa mengirim wang berjumlah RM10 juta ke United Kingdom menggunakan perkhidmatan penggurup wang.



Sumber: kulihatlangitbiru.com