Ganjaran Puasa Dan Qiyam Pada 10 Awal Zulhijjah

Posted on Friday, August 09, 2019 | 8/09/2019



Soalan:
Apakah benar orang yang berpuasa sehari daripada 10 hari yang terawal bulan Zulhijjah pahalanya seperti berpuasa setahun?

Jawapan:
Bulan Zulhijjah termasuk di dalam bulan-bulan Haram. Selain itu, bulan Haram ini terdiri daripada empat bulan di dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ، وَذُو الحِجَّةِ، وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ، مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى، وَشَعْبَانَ
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” [Riwayat al-Bukhari (4662)]

Tambahan pula, kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan melakukan amal soleh di dalam 10 hari yang terawal daripada bulan yang mulia ini kerana ia termasuk di dalam hari-hari yang paling dicintai oleh Allah SWT. Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang menceritakan kelebihan berpuasa dan berqiyam pada 10 hari yang awal bulan Zul-Hijjah ini, antaranya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ أَنْ يُتَعَبَّدَ لَهُ فِيهَا مِنْ عَشْرِ ذِي الحِجَّةِ، يَعْدِلُ صِيَامُ كُلِّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ، وَقِيَامُ كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْهَا بِقِيَامِ لَيْلَةِ القَدْرِ
“Tidak ada hari yang lebih disukai oleh Allah beribadah padanya melainkan pada 10 terawal bulan Zulhijjah. Berpuasa setiap hari daripadanya umpama berpuasa selama setahun dan melakukan qiyam pada setiap malam daripadanya sama seperti qiyam pada malam Lailatul Qadar.” [Riwayat al-Tirmidzi (758), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai gharib. Menurut al-Mubrakfuri hadith ini adalah dhaif disebabkan dua perawi bernama Mas’ud bin Wasil dan Nahhas bin Qahm]

Imam Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya ada dinyatakan bahawa berpuasa pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah umpama berpuasa selama dua bulan menurut riwayat al-Hasan. Selain itu, Mujahid berkata bahawa setiap amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah akan digandakan dan terdapat hadith lain yang diriwayatkan secara marfu’ tetapi ia adalah hadith yang palsu. Untuk itu, kami menjauhkan daripadanya serta apa-apa yang menyerupainya daripada hadith-hadith yang palsu pada menyatakan kelebihan 10 hari yang pertama bulan Zul al-Hijjah dan ia teramat banyak. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 262]

Imam al-Mubarakfuri berkata ini menunjukkan akan kebesaran serta kemulian hari dan beribadah padanya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 3/387]

Tambahan pula, hadith ini menjadi dalil akan tuntutan untuk memperbanyakkan berpuasa serta qiyam pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. [Lihat: Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/271]

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa hadith di atas adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh para ulama'. Akan tetapi, setiap amalan yang dilakukan pada waktu yang mulia akan digandakan ganjarannya bagi setiap amalan yang dilakukan. Justeru, kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada 10 hari yang awal bulan Zulhijjah seperti solat, berpuasa, berzikir, bersedekah dan sebagainya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan yang kita lakukan. Amin.

Wallahua'lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/09/2019

0 comments:

Loading...