Hukum Binaan Atas Kubur

Posted on Wednesday, August 21, 2019 | 8/21/2019



Soalan:
Apakah hukumnya membuat binaan atas kubur?

Jawapan:
Menanam mayat itu adalah hak bagi si mati yang memeliharanya dari keburukan dan memelihara yang hidup daripadanya.

Bagi kubur itu ada batasan-batasan yang datang syarak padanya. Sesetengahnya ialah kadarnya tidak boleh lebih tinggi dari kadar sejengkal sahaja supaya dikenali akan ia dan diziarahi dan tidak mengapa jika ditulis nama atasnya.

Adapun yang lebih dari kadar tersebut maka ada padanya huraian bergantung kepada kubur yang ada di situ:

Jika kubur itu adalah tanah kubur yang diwakafkan untuk sekalian orang Islam dan tidak ada di sana darurah yang menghendaki kepada dibuat binaan seperti bimbang kepada pencuri kubur atau digali binatang maka haram dibuat binaan atasnya. Kerana ada padanya itu menyempitkan atas orang Islam yang lain dan pula tertegah mereka dari menanam mayat lain selepas hancur mayat yang sedia ada sebab ada binaan disitu.

Inilah pendapat yang muktamad pada sisi mazhab Syafie dan Maliki dan Hanafi dan Hanbali.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini:

لو بني عليه في مقبرة مُسَبَّلَة -وهي التي جرت عادة أهل البلد بالدفن فيها-هدم البناء؛ لأنه يضيق على الناس، ولا فرق بين أن يبني قبة، أو بيتاً، أو مسجداً، أو غير ذلك
“Jikalau dibina atasnya pada kuburan yang diwakafkan yang selalunya orang awam ditanam di situ, hendaklah diruntuhkan binaan tersebut kerana ia menyempitkan ke atas orang lain. Dan tiada beza antara binaan itu berupa kubah atau rumah atau masjid atau lain dari yang demikian itu.” (Kitab Mughni Muhjtaj jilid 2, m/s. 55)

Adapun apabila didapati keperluan seperti bimbangkan atas mayat maka harus membuat binaan atas kubur sekalipun yang diwakafkan.

Tersebut pada kitab Busyral Karim As-Syafi’iyah, m/s. 473:

إن احتيج لبناء نحو قبة أو بيت؛ لخوف سارق أو سبع ولو بمُسَبَّلَة، أو كانت الكتابة على القبر والقبة لصالح في غير مُسَبَّلَة.. فلا كراهة، ولذا تصح الوصية بقبة له
“Jika ada keperluan membuat binaan seperti kubah atau rumah kerana takut pencuri atau binatang buas sekalipun pada kubur wakaf atau menulis nama atas kubur dan binaan kubah kubur orang soleh pada selain kubur wakaf maka tidak makruh. Dan kerana itu sah wasiat membuat kubah baginya.”

Adapun jika kubur itu bukan pada tanah wakaf seperti tanah milik mayat atau salah seorang saudaranya maka dimakruhkan binaan atasnya di sisi jumhur fuqaha'. Dan telah dinaskan ramai dari fuqaha', dikecualikan kubur para solihin sebagaimana datang pada kitab Hasyiah Ibnu Abidin:

وقيل: لا يكره البناء إذا كان الميت من المشايخ والعلماء والسادات. قلت [أي ابن عابدين]: لكن هذا في غير المقابر المُسَبَّلَة كما لا يخفى
Dan dikatakan: “Tidak makruh binaan jika adalah mayat itu dari kalangan para guru dan ulama' dan pemimpin.” Kataku: “Dan tetapi makruh ia pada selain kuburan yang diwakafkan sebagaimana yang telah jelas.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/21/2019

0 comments:

Loading...