Jangan terlena lagi...


KUALA TERENGGANU: Penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik menuntut anak buahnya belajar daripada kesilapan ketika tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi Piala Malaysia, Jumaat lalu.

Selain itu bekas pemain tengah Terengganu dan kebangsaan terbabit turut menggesa pemainnya supaya lebih fokus bermula wisel pertama ditiupkan pengadil sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

“Kita ada dua baki perlawanan lagi bertemu Kedah pada 13 September depan di Kuala Terengganu sebelum bertandang ke Stadium Shah Alam pada 17 September menentang PKNS FC.

“Kita tidak boleh tercicir mata lagi kerana kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A saingan Piala Malaysia belum lagi selamat untuk layak ke suku akhir dan apa-apapun boleh berlaku.

“Justeru, saya tuntut pemain belajar daripada kesilapan sebagaimana tewas kepada Negeri Sembilan Jumaat lalu terutama membenarkan dua jaringan awal lawan ketika perlawanan baru lima dimulakan,” kata Mohamad.

TFC kini memimpin kumpulan dengan mengutip sembilan mata diikuti Kedah mengekori rapat dengan mengumpul tujuh mata, PKNS ketiga dengan empat mata manakala Negeri Sembilan tercorot dengan tiga mata. 

Ketika ditanya adakah pemainnya hilang fokus dan mengambil mudah pertemuan dengan pasukan daripada liga Perdana itu, Mohamad yang kelihatan tidak begitu gembira persoalan terbabit menyatakan pemainnya gagal melakukan penyudah yang baik biarpun mendominasi permainan menjadi punca skuadnya tewas.

“Tidak, pemain tidak beraksi dengan sambil lewa atau mengambil mudah bertemu skuad itu, tapi mungkin mereka`terlena’ sikit pada awal permainan.

“Namun secara keseluruhannya saya rumuskan kita tidak bernasib baik untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata biarpun mempunyai deretan peluang termasuk terkena tiang gol,” katanya yang terpaksa menukar penjaga gol, Wan Mohd Azraie Wan Teh dengan Muhammad Ilham Amirullah Razali kira-kira 30 minit sebelum perlawanan bermula kerana kecederaan bahu. - Berita Harian