Keyakinan Kipre Tchetche mula meningkat


SELEPAS mempamer aksi cemerlang membantu kemenangan Terengganu FC (TFC) menumpaskan Kedah, dalam saingan Kumpulan A, Kipre Tchetche yakin terus menjadi watak pemusnah dalam pentas dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang sudah tiga tahun bersama skuad Penyu bersedia mengulangi pencapaian musim lalu dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan jaringan sembilan gol.

Pada aksi bertemu skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman, Alor Setar bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu memberikan sumbangan besar kepada skuadnya selepas meledak dua gol membantu TFC menang 2-0.

Lebih mengagumkan kemenangan itu hadir ketika skuad bimbingan pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua selepas penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali dilayangkan kad merah.

"Saya begitu gembira selepas berjaya menjaringkan dua gol yang begitu bermakna buat pasukan di tempat lawan, lebih menggembirakan apabila jaringan itu adalah gol permulaan dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya juga gembira dengan persembahan rakan sepasukan yang beraksi cemerlang dan berdisiplin walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain dalam tempoh yang lama.

"Bukan senang beraksi dengan kekurangan pemain lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka, tapi kita mampu bertahan dengan baik dan pintu gol kita juga tidak bolos sebelum melakar kemenangan," ujar Tchetche.

Bagaimanapun pemain paling mahal TFC terbabit turut melahirkan rasa sedih selepas rakan sepasukannya menerima kad merah pada masa kecederaan babak pertama sebelum beraksi dengan sepuluh pemain.

"Apabila melihat dia (Muhamad Ilham) menerima kad merah, saya begitu sedih kerana memikirkan nasib yang bakal menimpa pasukan pada babak kedua.

"Pada masa sama saya juga merasakan pada ketika itu permainan pastinya akan lebih mencabar dan berharap pasukan kami diberi kekuatan mental dan fizikal sebelum berjaya leburkan rekod tanpa kalah skuad itu di Darul Aman," katanya yang bertekad mahu mengulangi pencapaian sama bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 17 Ogos ini. - Harian Metro