Mangsa Macau Scam Seterusnya, Hilang RM25,498


Nampaknya, isu ditipu Macau Scam masih belum diketahui ramai orang walaupun pihak polis, media dan Ohmedia sendiri telah banyak mengeluarkan info mengenai penipuan ini. Banyak mangsa yang telah tertipu dengan sindiket ini dan yang terbaru melibatkan seorang kerani wanita di Cameron Highlands yang telah mengalami kerugian sebanyak RM25,498.

Cara penipuan Macau Scam kali ini sama seperti sebelum ini, apabila kad pengenalan mangsa didakwa telah disalahguna individu lain untuk dijadikan kad kredit.

Mangsa kemudian diminta untuk membayar RM6,000 untuk transaksi kad kredit, namun dinafikan mangsa sebelum suspek menyambungkan panggilan kepada suspek seterusnya yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia.

Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri pula sebagai pegawai polis daripada siasatan jenayah dan meminta nombor kad bank mangsa. Mangsa yang berasa takut terus memberikan semua maklumat akaun banknya kepada suspek. Wanita itu kemudiannya menerima tiga mesej transaksi berjumlah RM25,498 daripada akaun banknya ke akaun individu lain.

Selepas itu, mangsa yang terasa tertipu telah membuat laporan polis Cameron Highland.

Jadi, Ohmedia suka untuk mengingatkan korang semua agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang panggilan yang datang dari orang yang tidak dikenali. Jika korang rasa takut, jangan panik sebaliknya terus pergi ke bank atau balai polis yang berdekatan untuk membuat semakan. Sama-samalah kita ingatkan orang disekeliling kita agar perkara seperti ini tidak berulang.

Sumber: Oh! Media