Mohon doa, jangan buat spekulasi - PBSNT


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meminta peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyakit yang dihidapi penjaga gol berpengalaman, Suffian Abdul Rahman yang kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini sejak Khamis lalu.

Sebaliknya PBSNT mengharapkan peminat skuad Penyu itu mendoakan agar pemain berusia 41 tahun itu yang lebih mesra dipanggil ‘Tiger’ cepat sembuh dan kembali menjalani latihan.

Pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan penyakit penjaga gol itu kerana belum mendapat pengesahan daripada doktor yang merawatnya.

“Rabu lalu, dia memaklumkan tidak dapat menjalani latihan kerana masalah kesihatan dan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan sebelum kami dimaklumkan dia dimasukkan ke wad di HSNZ.

"Jadi saya tidak berani memberi ulasan lebih lanjut kerana saya tidak pasti sama ada dia mengalami masalah berkaitan jantung atau sebaliknya.

"Setakat ini, kita belum mendapat pengesahan dan laporan lengkap  daripada pihak hospital berhubung penyakit itu cuma ketika melawatnya, kita dimaklumkan dia mengalami serangan jantung tetapi pihak doktor pasukan TFC sedang berurusan dengan pihak hospital.

"Dalam masa sama, kita sudah menghantar wakil PBSNT, namun pihak hospital memohon Suffian tidak diganggu bagi proses rawatan.

"Saya dimaklumkan dia kini berada dalam keadaan stabil cuma di bawah pemantauan pihak hospital," katanya yang memaklumkan PBSNT juga turut menghormati permintaan keluarganya.

Musim lalu, bekas penjaga gol kebangsaan itu adalah antara watak penting kejayaan skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.

Pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) itu yang menyarung jersi skuad TFC bermula pertengahan 2017 juga beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini. - Berita Harian