Nafuzi Zain pertahan sikap pemain Terengganu FC


Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, mempertahankan sikap terlalu yakin anak buahnya walaupun ia menjadi punca kekalahan mereka tatkala jurulatih Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad, menganggap keberkesanan jentera penyudah menjadi faktor 'kisah dongeng' skuad Jang kembali bernyawa.

TFC berkunjung ke Paroi malam kelmarin dengan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut, termasuk menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam pusingan pertama.

Hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kemaraan awal ke suku akhir, sikap terlalu yakin pasukan bimbingan Nafuzi itu tampak memakan diri.

Skuad Penyu dibolosi dua gol pantas lawan pada awal permainan sebelum gawang mereka bocor lagi dalam babak kedua, sekali gus tewas mengejut 2-3 di tangan tuan rumah.

"Pemain saya tidak bersikap terlalu yakin kerana kami tahu saingan Piala Malaysia ini memang sukar.

"Ketika ketinggalan 1-2, kami tertekan dan bagi saya, ia satu peringatan yang bagus untuk perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya ketika mempertahankan pemainnya.

Sementara itu, kemenangan sulung skuad Hobin Jang Hobin itu hadir menerusi ketajaman penyudah jentera serangan setelah hambar sekadar menghasilkan tiga gol dalam tiga perlawanan terdahulu.

Biarpun mengubah nasib pasukan untuk kekal bersaing, barisan pemain bimbingan Zaki Sheikh Ahmad itu, bagaimanapun, masih berdepan misi mustahil untuk melangkah ke peringkat kalah mati kejohanan berkenaan.

"(Sebelum ini, kami) banyak peluang di depan gol, bahkan di jarak enam ela.

"Jarak itu sudah sangat dekat tetapi kalau ia tidak dapat dijaringkan, macam mana? Tetapi kali ini ia dapat disudahkan.

"Saya melihat aksi berdepan Kedah (17 September depan) sebagai penentu," kata Zaki. - Astro Arena