Nafuzi Zain tabik Kipre Tchetche

Posted on Friday, August 09, 2019 | 8/09/2019



ALOR SETAR: Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menghamburkan pujian terhadap penyerangnya, Kipre Tchetche yang menyumbat kedua-dua gol ketika skuad Penyu menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi Piala Malaysia, semalam.

Sambil turut memuji semangat tinggi yang ditampilkan skuad kendaliannya yang terpaksa beraksi kurang seorang pemain di Darul Aman, Nafuzi berkata dia tidak pernah meragui kemampuan pemain kelahiran Ivory Coast itu yang dilanda kemarau jaringan sebelum ini.

"Kipre sudah tiga hingga empat perlawanan tidak menjaringkan gol, tapi sumbangannya sangat besar untuk pasukan dan saya tahu dia memang boleh menjaringkan gol,” kata Nafuzi.

“Tetapi jika dia tidak menjaringkan gol, bukan masalah bagi saya kerana dia juga boleh membuka peluang untuk pemain lain menjaringkan gol.

"Malam ini (semalam) dia menjaringkan dua gol dan saya gembira untuk dia kerana sebagai penyerang, memang dia perlu jaringkan gol dan ini akan memberi keyakinan untuk dirinya sendiri untuk aksi perlawanan seterusnya.”

Mengulas perlawanan menentang juara Piala FA itu, Nafuzi berkata dia pada mulanya merasa mustahil untuk meraih kemenangan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.

"Pada masa rehat saya beritahu pemain yang mereka harus lebih berusaha keras kerana beraksi 10 pemain lebih memerlukan sokongan antara satu sama lain dari segi kerjasama.

"Mereka melakukan tugas bertahan dengan baik walaupun diasak bertubi-tubi oleh Kedah dan turut menggunakan peluang yang ada untuk membalas serangan.

"Matlamat utama adalah mencari kemenangan tetapi jika kita pulang dengan satu mata, bagi saya sudah memadai dan bila kita peroleh tiga mata, Alhamdulillah saya bersyukur." katanya.  - Berita Harian
Blog, Updated at: 8/09/2019

0 comments:

Loading...