'Pembelajaran tulisan Jawi tidak realistik di sekolah Tamil' - Menteri Perpaduan


"Di alam baru ini terdapat banyak perkara untuk diajar kepada pelajar. Jadi bagi saya, memperkenalkan tulisan jawi di Sekolah Tamil merupakan satu perkara yang tidak perlu," demikian kata Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waythamoorthy dalam satu wawancara bersama Bernama. 

Beliau yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) mendakwa, ramai anggota kabinet juga tidak bersetuju dengan rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berhasrat agar tulisan jawi diperkenalkan dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah vernakular.

"Saya tidak dapat memberikan ulasan dengan segera kerana keputusan KPM diumumkan secara tiba-tiba. 

"Ramai anak Malaysia masih menganggur walaupun memiliki ijazah. Mereka ini perlu diserapkan pembelajaran coding atau pengekodan. Ini akan membantu anak kita untuk meningkatkan kesedaran mengenai perniagaan secara dalam talian yang berkait kehidupan harian kita. 

"Pembelajaran tulisan Jawi tidak realistik di sekolah Tamil. Pada ketika ini, terdapat banyak aduan di mana para pelajar berpendapat bahawa sistem pendidikan sebagai beban. 

"Sepatutnya kerajaan perlu berfikir bagaimana untuk mengurangkan beban murid kita, pada masa sama memastikan pembaharuan dalam sistem pendidikan agar pelajar kita selesa dengan sistem persekolahan," katanya. 

25 Julai lalu, KPM dalam satu kenyataan menjelaskan pengenalan tulisan Jawi dan seni khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah. Namun langkah kerajaan itu mendapat kritikan dari beberapa pihak yang menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid. 

Susulan itu, Kabinet kemudian menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan dan guru juga akan diberi kuasa untuk menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya. 

Sumber: MalaysiaKini


Sumber : thereporter.my