Pesanan Nafuzi Zain buat pemain Terengganu FC


Kuala Terengganu : Skuad penyu tidak tewas dalam dua perlawanan mereka berdepan PKNS musim ini dengan mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri dan menang 2-1 ketika bertandang ke Shah Alam.

"Jangan pandang rendah pasukan lawan."

Itu peringatan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain kepada anak buahnya menjelang perlawanan berdepan PKNS FC dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

“Oleh sebab itu saya mengingatkan pemain usah berasa selesa dan mengambil mudah biarpun beraksi di laman sendiri kerana sudah pasti lawan juga mahukan kemenangan.

“Selain itu pasukan juga tidak boleh membazirkan mata jika berhasrat untuk mara ke peringkat suku akhir apatah lagi beraksi di laman sendiri pada aksi pertama peringkat kumpulan itu biarpun sedar bakal diberi tentangan sengit pihak lawan,” kata Nafuzi seperti dilaporkan Berita Harian.

Nafuzi pastinya mahu cuba untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian yang dilakukan oleh Irfan Bakti pada musim lalu apabila dia berjaya membawa TFC mara sehingga ke perlawanan akhir. Biarpun mendahului perlawanan dua kali, tetapi Terengganu FC terpaksa akur apabila tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Perak.

Bekas pemain Projek Olimpik 2000 itu menggantikan tempat Irfan Bakti yang meletakkan jawatan pada 16 Mei lalu dan telah membantu TFC menduduki tempat ketujuh Liga Super musim ini. - foxsports.com.my