Potek idam sarung jersi Kebangsaan


KUALA TERENGGANU: Selepas cemerlang membantu pasukannya menumpaskan PKNS FC 3-1 Jumaat lalu, pemain Terengganu FC (TFC), Sharin Sapien sekali lagi mahu menjadi watak penting menentang Kedah Khamis ini pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia.

Pemain kelahiran Kuala Nerus berusia 25 tahun itu yang sebelum ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan juga sudah bersedia dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan yang menjadi idamannya sejak di bangku sekolah lagi.

Sharin berkata, kepercayaan diberikan pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk membarisi kesebelasan utama membuatkan dia kini bertambah yakin beraksi biarpun dibayangi pemain import berkualiti seperti Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov di posisi tengah.

"Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih kerana banyak memberi peluang dan berani meletakkan saya dalam kesebelasan utama berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, saya ternanti-nanti peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama, apatah lagi beraksi bersama adik saya, Muhammad Shaziran yang juga kini berada dalam skuad TFC.

"Jadi dengan kepercayaan itu, saya nak buktikan saya juga mampu bersaing dengan pemain tengah lain termasuk pemain import terutama bertemu Kedah Khamis ini di Stadium Darul Aman," kata Sharin yang lebih mesra dipanggil Potek dalam kalangan rakan sepasukan.

"Setakat ini, saya belum dapat lagi panggilan daripada skuad kebangsaan tetapi keinginan sebagai pemain tetap tinggi untuk menyarung jersi skuad negara.

"Namun, bagi menambat hati pengendali skuad kebangsaan, saya akan buat yang terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia ini bagi membuktikan saya juga mampu membarisi skuad negara." - Berita Harian