Terengganu FC II mara ke separuh akhir Challenge Cup


KUALA TERENGGANU: Juara bertahan, Terengganu FC II (TFC II) mara ke separuh akhir Piala Cabaran selepas mudah menumpaskan Selangor United 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Sepanjang babak pertama berlangsung, juara edisi sulung musim lalu itu yang mendominasi permainan mempunyai empat percubaan menarik untuk  memimpin perlawanan menerusi Ashari Samsudin dan Mohamad Ramzi Sufian.

Namun kegopohan serta ketangkasan penjaga gol pelawat, Damien Lim membuatkan kem skuad The Turtles terpaksa 'gigit jari' untuk mendapatkan jaringan pembukaan.

Pelawat yang lebih banyak berkubu di kawasan sendiri hanya mempunyai satu peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan menerusi kuisan Muhamad Nazrul Kamaruzaman yang mudah dibaca penjaga gol, Mohd Shamirza Yusof.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan memasukkan penyerang sensasinya, Akanni Sunday Wasiu untuk mengukuhkan jentera serangan, namun masih buntu memecah kebuntuan gol.

Bagaimanapun pada minit ke-75, Wasiu membalas kepercayaan jurulatihnya apabila bijak mencari ruang kosong sebelum menolak masuk gol sulung perlawanan hasil hantaran lintang Bruno Suzuki untuk mendahului 1-0.

Jaringan itu sekali gus  menamatkan kemarau jaringan penyerang kelahiran Nigeria itu selepas 13 perlawanan termasuk dalam saingan Liga Perdana.

Ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum ditamatkan, Suzuki meledak gol kedua pasukannya melalui rembatan kencang dalam kotak penalti hasil sepakan sudut Ahmad Takhiyuddin Roslan bagi membantu TFC II meraih kemenangan. - Berita Harian