Terengganu Hanelang!


TERENGGANU meraih 11 emas secara keseluruhan bagi kategori elit dan remaja selepas berakhirnya Kejohanan Trek Kebangsaan 2019, semalam.

Mereka meraih tujuh emas kelmarin dan semalam menambah empat lagi emas lagi.

Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa masing-masing meraih emas peribadi ketiga apabila memenangi acara keirin selepas dua emas kelmarin.

Turut cemerlang adalah pelumba remaja, Nur Alia Mansor yang menjuarai pecut individu selepas keirin dan scratch kelmarin.

"Saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan pelumba walaupun kita kekurangan latihan di trek. Jika Terengganu mempunyai trek (velodrom) saya fikir prestasi akan lebih baik.

"Terima kasih juga kepada pelumba elit (Azizulhasni dan Fatehah) yang turut menyumbang kepada pencapaian ini. Saya gembira kami dapat mengekalkan gelaran juara keseluruhan seperti tahun lalu," jelas jurulatih Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan.

Jauh di kedudukan kedua adalah Johor yang meraih tiga emas dengan pelumba elit, Shah Firdaus Sahrom bergandingan bersama-sama Khairil Nizam Rasol dan Amar Danial Masri memenangi pecut berpasukan.

Manakala pelumba remaja, Mohd Ridwan Sahrom meraih dua emas menerusi pecut individu dan keirin.

Perak, Perlis dan Selangor membawa pulang dua emas pada saingan di Velodrom Nasional itu. - Harian Metron