Bolehkah Manusia Melihat Jin?


SOALAN:
Adakah manusia boleh melihat bangsa jin sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah orang?

JAWAPAN:
Menurut pendapat sebahagian ulama’ bahawasanya jin itu tidak dapat dilihat melainkan pada ketika Allah mengangkat hijab antara pandangan manusia dan jin.

Firman Allah Taala:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ
“Sesungguhnya jin itu dapat melihat akan kamu manakala kamu tidak dapat melihat akan mereka.” (Al-A’raf : 27)


Dan sebahagian ulama’ menyebut bahawa jika jin itu pada rupa asalnya maka tidak dapat dilihat melainkan oleh Nabi saw kerana termasuk mukjizatnya dan apabila jin itu menyamar atas rupa yang lain maka ia dapat dilihat oleh manusia.

Imam Al-Qurtubi menyebut ketika menafsirkan ayat ini:

قال بعض العلماء : في هذا دليل على أن الجن لا يُرون ، لقوله : (مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ) قيل : جائز أن يُرَوا لأن الله تعالى إذا أراد أن يريهم كشف أجسامهم حتى تُرى .

قال النحاس : (مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ) يَدلّ على أن الجن لا يُرون إلا في وقت نَبي ليكون ذلك دلالة على نُبوته ، لأن الله جل وعزّ خلقهم خَلْقًا لا يُرون فيه ، وإنما يُرون إذا نُقِلوا عن صورهم ، وذلك من المعجزات التي لا تكون إلاَّ في وقت الأنبياء صلوات الله وسلامه عليهم . اهـ .

“Berkata setengah ulama’: Pada ayat ini menjadi dalil atas bahawa jin tidak dapat dilihat. Dan kata sesetengah ulama’ harus dilihat akan dia kerana apabila Allah hendak memperlihatkan mereka maka diangkat akan hijab tubuh badan mereka sehingga nampak dilihat.

Berkata An-Nuhas ayat ini menunjukkan atas bahawa jin tidak dapat dilihat melainkan pada ketika zaman Nabi saw sebagai tanda kenabiannya kerana Allah Taala mencipta kaum jin itu sebagai ciptaan yang tidak dapat dilihat. Dan hanya mereka itu dapat dilihat apabila jin itu bertukar rupa. Yang demikian itu adalah setengah dari mukjizat yang tidak berlaku melainkan pada zaman para Nabi a.s.”

Dan setengah ulama’ berkata hanya sesetengah manusia yang diizinkan Allah dapat melihatnya manakala sesetengah manusia yang lain tidak dapat melihatnya.

Berkata Imam Nawawi ketika menyebut hadith Nabi saw hendak mengikat jin di depan masjid supaya orang ramai datang melihatnya:

فِيهِ دَلِيل عَلَى أَنَّ الْجِنّ مَوْجُودُونَ ، وَأَنَّهُمْ قَدْ يَرَاهُمْ بَعْض الآدَمِيِّينَ . وَأَمَّا قَوْل اللَّه تَعَالَى : (إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ) فَمَحْمُول عَلَى الْغَالِب
“Pada hadith ini menjadi dalil atas bahawa jin itu maujud mereka itu dan sesungguhnya mereka terkadang dapat dilihat oleh sesetengah manusia. Dan ada pun ayat ‘jin melihat manusia manakala manusia tidak melihat jin’ itu ialah atas jalan kebiasaan.”

Berkata Al-Qadhi:

وَقِيلَ : إِنَّ رُؤْيَتهمْ عَلَى خَلْقهمْ وَصُوَرهمْ الأَصْلِيَّة مُمْتَنِعَة ؛ لِظَاهِرِ الآيَة إِلاَّ لِلأَنْبِيَاءِ صَلَوَات اللَّه وَسَلامه عَلَيْهِمْ أَجْمَعِينَ ، وَمَنْ خُرِقَتْ لَهُ الْعَادَة ، وَإِنَّمَا يَرَاهُمْ بَنُو آدَم فِي صُوَر غَيْر صُوَرهمْ ، كَمَا جَاءَ فِي الآثَار .
“Sesungguhnya melihat jin atas kejadian dan rupa yang asal itu tertegah kerana zahir ayat tersebut melainkan para Nabi a.s dan orang yang dikurniakan karamah. Hanya dapat melihat jin oleh manusia biasa ialah pada ketika selain dari kejadian dan rupa yang asal sebagaimana tersebut dalam atsar.”

Berkata Imam Ibnu Rajab:

وفي الحديث : دليل على إمكان رَبط الشيطان وحبسه وإيثاقه ، وعلى جواز رَبْطه في المسجد ، كما يُرْبط الأسير فيه ، وعلى جواز رؤية غير الأنبياء للجن والشياطين ، وتلاعب الصبيان بهم .
وأما قوله تعالى : ( إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ ) فإنه خَرَج على الأعم الأغلب ، وليس المراد به نفي إمكان رؤيتهم . اه .
“Dan pada hadith (Nabi saw hendak mengikat jin di dalam masjid di Madinah supaya budak-budak dapat bermain dengannya) itu menjadi dalil atas mungkinnya mengikat jin dan menahannya dan menunjuk atas harusnya mengikat jin seperti diikat para tawanan. Dan juga menjadi dalil atas harus melihat jin oleh selain para Nabi a.s dan bermain budak-budak dengannya.

Ada pun firman Allah pada ayat 27 surah Al-A’raf itu berlaku atas jalan umum dan kebiasaan bukanlah maksudnya tidak dapat dilihat akan jin sama sekali.”

Berkata Ibnu Hajar:

إن الشيطان مِن شأنه أن يَكْذِب، وأنه قد يَتَصَوَّر ببعض الصُّوَر فَتُمْكِن رؤيته ، وأنّ قوله تعالى : (إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ) مخصوص بما إذا كان على صورته التي خُلِق عليها . اهـ .
“Sesungguhnya jin itu dari jenis pembohong dan sesungguhnya ia terkadang merupa dengan rupa yang mungkin dilihat akan dia. Dan ayat 27 surah Al-A’raf itu khusus dengan apabila jin itu atas rupa dan kejadiannya yang asal.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media



Oh! Makan


Sumber: Oh! Media