Fit is Sunnah Didik Rakyat Hidup Sihat

Wan Sukairi merasmikan Fit is Sunnah.


Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 29 September-Program  Fit Is Sunnah dilaksanakan sebagai suatu medium untuk menanam sikap mementingkan gaya kehidupan yang sihat selari dengan sunnah dikalangan rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Wan Sukairi Abdullah berkata, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang dua kenikmatan sering dilupakan iaitu kesihatan dan waktu lapang.

"Kedua-dua nikmat ini hendaklah disyukuri.  manfaatkan diri kita dengan melakukan aktiviti riadah yang dapat menyihatkan tubuh badan, serta memastikan waktu lapang yang ada tidak disia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat.

"Kesihatan tubuh badan juga berkait rapat dengan kesempurnaan pelaksanaan ibadah. Ini memperlihatkan perihal pentingnya seseorang mukmin menjaga kesihatan tubuh badan dan gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan pelancaran Fit Is Sunnah peringkat Negeri Terengganu, di Bukit Besar, semalam.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ahli parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.

Wan Sukairi turut menegaskan, kerajaan negeri mengambil serius berkaitan isu tersebut dan tampil dengan usaha untuk melancarkan program berkenaan sebagai suatu penunjuk aras tahap kesihatan rakyat.


"Ia juga adalah satu usaha untuk memastikan penurunan kadar obesiti dalam kalangan rakyat negeri kita ini," katanya.

Mengikut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dan juga statistik daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada November 2017, seramai 5.5 juta penduduk Malaysia disahkan mengalami obesiti dan Terengganu berada di tempat yang ke -7 dengan peratusan obesiti sebanyak 32.5 peratus.



Sumber: teganukita.net