Hukum Berdiam Diri Apabila Islam Dihina


SOALAN:
Apakah hukumnya orang Islam terutama pihak yang berkaitan seperti pemerintah dan para ilmuwan Islam mendiamkan diri dalam situasi dimana agama Islam dihina dan dipersendakan dan pelbagai kemungkaran berlaku di dalam negara kita?

JAWAPAN:
Apabila kemungkaran berlaku terang-terangan dan agama Islam dihina maka wajib atas sekian orang Islam mengingkarinya dan menghentikannya. Istimewa pula para pemimpin dan para ilmuwan Islam maka tidak halal sama sekali mereka mendiamkannya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat nanti dari segala maksiat dan kemungkaran yang berlaku.

Tidak mencegah dan mengubah segala kemungkaran ini adalah haram dan dosa. Dari Abu Said Al-Khudri r.a sabda Nabi saw:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa yang melihat satu kemungkaran berlaku maka hendaklah dia hentikannya dengan tangannya dan jika tidak mampu dengan tangan maka hentikanlah dengan lisannya dan jika tidak mampu maka bencilah di dalam hati. Bermula benci di dalam hati itu adalah iman yang paling lemah.” (Riwayat Muslim)

Tersebut pada kitab Syarah Jami’ul Ulum Imam Ibnu Rajab:

وجوب تغيير المنكر بكل ممكن بيد أو لسان أو بالقلب.
إن من لم يقم بتغيير المنكر عند تحققه وعدم المانع أنه يأثم حيث إنه لم يزله
“Wajib mencegah kemungkaran dengan segala kemampuan sama ada tangan atau lisan atau hati dan sesungguhnya orang yang tidak mencegah kemungkaran ketika nyatanya dan tidak ada sebarang uzur maka sesungguhnya dia berdosa selagi ada kemunkaran itu.”

Dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata:

إن الناس إذا رأوا الظالم فلم يأخذوا على يديه أوشك أن يعمهم الله بعذاب من عنده
“Sungguhnya manusia apabila mereka melihat orang yang zalim lalu mereka tidak menahannya maka dibimbangi Allah akan menurunkan azab ke atas semua mereka dari sisi-Nya.” (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)

Berkata Syeikh Athiyah Saqr:

وخلاصته: أنه لابد من الاهتمام بأمر المسلمين، ومنه الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر، فإذا فعل ذلك فقد اهتدى، وبالتالى لا يقع عليه وزر من ضلوا الطريق
“Dan kesimpulannya bahawa satu kemestian kita mengambil berat hal ehwal masyarakat Islam dan setengah darinya ialah menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Maka setelah itu tidak lagi dia berdosa dengan sebab maksiat yang dilakukan oleh orang-orang yang sesat.”

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media