Karnival Main Ga'yong Pantai Timur Berpencak


Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 29 September - Karnival Main Ga'yong Pantai Timur dijangka menggamit seribu kenangan buat warga Perguruan Persilatan di negeri Terengganu apabila ianya bakal diadakan pada 3 hingga 5 Oktober ini di Kijal.

Karnival tersebut akan menghimpunkan seluruh guru silat dari Pantai Timur malah turut melibatkan Perguruan Persilatan dari Selangor, Melaka, Johor, Kedah dan negara jiran iaitu Thailand yang akan berkampung selama tiga hari di Pantai Penunjuk, Kijal.

Karnival yang julung kali diadakan itu adalah hasil kerjasama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Melayu Pantai Timur (PERSIMA) dan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu.


Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang karnival tersebut, antaranya Demontrasi Seni Silat Tradisi, Demontrasi Pergendangan, Himpunan Busana Tradisi, Pameran Senjata Melayu, Kejohanan Silat Olahraga dan Santai Ilmiah yang bertajuk Ulama rdan Pendekar Berpisah Tiada.

Selain pameran dari agensi kerajaan, turut diadakan adalah Sukan Rakyat, gerai jualan, Pertandingan Memancing Pantai, Explore Race, Musang Berjanggut, Bola Sepak Pantai, Tarik Tali, Panjat Tiang licin dan Gusti Bantal.

“Semua warga Pantai Timur dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival yang akan dijadikan sebagai acara tahunan di Kemaman ini,” seru Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Haji Hazri Jusoh ketika ditemui di Pantai Penunjuk, Kijal.

“Di samping pelbagai acara menarik yang disediakan, kita juga menghidangkan jamuan rakyat gulai kawah bagi pengunjung yang bertandang di karnival tersebut pada hari kemuncak iaitu hari Sabtu 5 Oktober ini,” ujar beliau lagi.

Karnival ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara Perguruan Persilatan di seluruh Pantai Timur.

Majlis perasmian dijadualkan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali selaku Khalifah Gayong Terengganu.

Sumber: teganukita.net