Lang Merah sedia 'patuk' Penyu


Alor Setar: Pengalaman tiga pemain Kedah, Edgar Bernhardt, Shakir Hamzah dan Ifwat Akmal yang beraksi di peringkat antarabangsa menjadi suntikan semangat buat skuad Lang Merah menjelang pertemuan berdepan Terengganu FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Edgar yang mewakili Kyrgyzstan, Shakir tonggak Singapura, manakala Ifwat penjaga gol simpanan Malaysia dalam kempen

kelayakan Piala Dunia 2022, dijangka bersedia untuk kembali bersama skuad Helang Merah sebaik tamat tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Justeru, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak kini fokus mengatur strategi terbaik dalam usaha memburu kemenangan ketiga peringkat Kumpulan A selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dan PKNS 3-2 sebelum ini.

“Pembabitan tiga pemain Kedah iaitu Edgar, Shakir, dan Ifwat yang mewakili skuad negara masing-masing pastinya memberi motivasi tambahan buat seluruh pasukan dalam usaha memburu kemenangan menentang Terengganu FC.

“Pemain tengah Edgar sudah pulang ke Kedah dan sudah beraksi bersama pasukan dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan PB Melayu Kedah malam ini (semalam).

“Sementara Shakir dan Ifwat akan menyusul selepas mereka melengkapkan jadual bersama pasukan masing-masing iaitu selepas aksi Singapura bertemu Palestin dan Malaysia melawan UAE (Emiriah Arab Bersatu),” katanya. - Harian Metro