"Maafkan Kami," - Nafuzi Zain

Nafuzi Zain

KUALA TERENGGANU, 13 September- Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC), Nafuzi Zain memohon maaf kepada kira-kira 10,000 penyokong yang hadir menyaksikan pasukannya tewas tipis 2-3 kepada pasukan Kedah, semalam.

"Saya memohon maaf kepada penyokong atas kekalahan ini.

"Untuk perlawanan seterusnya, walaupun memiliki kelebihan untuk layak berbanding Negeri Sembilan, kita perlu menang dan tidak boleh mengharapkan pasukan lain menentukan nasib kita," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Pemain Kedah menggasak kubu Terengganu FC.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) itu, Terengganu FC bermula perlahan dan lebih banyak bertahan menerima asakan Kedah di awal permainan.

Kesempatan itu dimanfaatkan pelawat sebaik mungkin apabila Jonathan Bauman menanduk masuk sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada minit ketiga untuk mendahului tuan rumah, 1-0.

Sang Penyu cuba bangkit dengan serangan-serangan balas pantas dan berhasil mengancam kubu lawan.

Rembatan Nabil Ahmad Latpi menggegarkan palang Kedah pada minit ke-30 sebelum kekacauan di hadapan gol menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC yang disempurnakan Lee Tuck tiga minit kemudian.

Helang Merah tidak menunggu lama, pada minit ke-36, Edgar Bernhardt berjaya melepaskan rembatan leret melepasi Wan Azraie Wan Teh.
Sanjar Shaakhmedov turut sukar tembusi benteng Kedah.

Kedudukan kekal 1-2 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah meningkatkan serangan dan penguasaan padang untuk menyamakan kedudukan.

Kemasukan pemain sayap, Malik Mat Arif membuahkan hasil apabila beliau menolak masuk bola sepakan percuma Lee Tuck melepasi gawang Ifwat Kamal pada minit ke-59.

Kedua-dua pasukan terus bertukar-tukar serangan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Terengganu FC memperoleh peluang pada minit ke-63, namun rembatan Ashari Samsudin berjaya ditepis Ifwat.
Malik jaring satu gol Terengganu FC.

Empat minit sebelum tamat permainan, Kedah menggandakan serangan dan berjaya memecahkan kubu tuan rumah melalui Baddrol Bakhtiar yang merembat bola muntah yang ditampan Wan Azraie.

Terengganu FC cuba untuk bangkit, namun kad kuning kedua yang diperolehi pertahanan, Hafizal Mohamad pada minit-89 menyukarkan Sang Penyu menghalang tiga mata dibawa pulang Darul Aman.

Sang Penyu kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A dengan sembilan mata, manakala Negeri Sembilan menghuni tangga ketiga dengan enam mata.

Terengganu FC akan berkunjung ke Shah Alam dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang PKNS FC pada 17 September ini.

Pemain Kedah meraikan gol yang berjaya dijaringkan.



Sumber: teganukita.net