Rakyat Perlu Peka Usaha Kerajaan


Oleh: Muhd Afiq Zohir

BESUT, 13 September - Rakyat negeri Terengganu perlu peka dan menghayati usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihak kerajaan sentiasa mengambil inisiatif untuk menyampaikan hasrat dan kehendak rakyat.

“Rakyat berhak untuk mengetahui usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan bagi membentuk sebuah negeri Terengganu yang maju,berkat dan sejahtera," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika mengagihkan risalah dari Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) kepada pengunjung di Pasar Tani Jerteh, semalam.

Menurutnya, program sebegini amat sesuai kerana ia dapat memberi kesedaran dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat dan pihak pejabat.

"Ia juga dapat menggalakkan para pengunjung untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu benda yang berfaedah.” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap usaha itu dapat menimbulkan kesedaran terhadap rakyat tentang permasalahan yang berlaku dalam persekitaran sekarang.

Turut hadir sama kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) Jerteh bagi melancarkan lagi agihan risalah.

Sumber: teganukita.net