Sekolah di Kuching & Sri Aman ditutup esok jika bacaan IPU terus kritikal


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata, sekolah di Kuching dan Sri Aman boleh ditutup esok sekiranya bacaan IPU terus kritikal serta memudaratkan pelajar. 

Penutupan itu selaras Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019, bertarikh 15 Januari 2019. 

"Antara lain, jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta kerana langkah itu demi menjamin kesihatan dan keselamatan murid. 

"Pengetua dan guru besar hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu. 

"Untuk kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan. 

"Semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaan (LP) akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika bacaan IPU mencecah 300. 

Berdasarkan bacaan dipaparkan di laman web http://apims.doe.gov.my setakat pukul 6.00 petang ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati dua kawasan yang mengalami kesan teruk fenomena jerebu itu ialah Sri Aman yang merekodkan IPU 248, dan Kuching 241.

Sebanyak empat Stesen Pengawasan Udara Automatik di negeri itu turut menunjukkan IPU tidak sihat iaitu di stesen Samarahan IPU 191, Sarikei (142), Sibu (119) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (105).

Selain itu, tujuh lagi stesen di Sarawak mencatat IPU sederhana melibatkan Mukah (86), Kapit (85), Bintulu (80), Samalaju (74), SK Kuala Baram 2 (73), Limbang (71) dan Miri (69).

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.



Sumber : thereporter.my