Tak sabar angkat boss jadi PM, 90% ahli PKR umum sokong Anwar Ibrahim


Pergeseran dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan perkara kecil yang tidak seharusnya diperbesarkan setiap ahli parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkata, perkara itu tidak serius hingga memberi kesan kepada parti yang berhasrat mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Isu ini perkara kecil sebab baru-baru ini, saya menghadiri Majlis Temu Rapat Pimpinan Pusat di Port Dickson, 90 peratus menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai presiden dan bakal Perdana Menteri.

"Ini perkara kecil... biasalah kalau 10 peratus lagi masih tidak menyokong," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Sabak Bernam di Dewan Parit 6, Sungai Besar di sini hari ini.

Shatiri berkata, beliau yakin Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk membuat apa yang sepatutnya dan saya percaya sampai masa dan ketikanya, Anwar diberi kepercayaan memimpin negara," katanya.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai ketiadaan tempat untuk Anwar menyertai jemaah menteri sedia ada kerana tiada kekosongan, Shatiri berkata, perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri.

"Mungkin ada perancangan disusun Dr Mahathir sebab kita tahu Anwar jumpa Perdana Menteri hampir setiap minggu dan ini juga mungkin strategi antara kedua-dua pemimpin berkenaan," katanya.

Sumber: Sinar Harian


Sumber : thereporter.my