Tiada masalah pun..


KUALA TERENGGANU: ‘Tiada masalah dalaman’. Itu reaksi pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Faudzi susulan kekalahan mengejut skuad itu kepada Negeri Sembilan dalam aksi keempat peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia, baru-baru ini.

Sebaliknya pemain yang pernah berguru selama tiga bulan di Liga Perdana Queensland, Australia ketika bersama skuad Harimau Muda A pada usia 18 tahun mengakui kem skuad Penyu kekal harmoni.

“Kami tidak ada masalah dalaman dan kami bagaikan satu keluarga, kekalahan itu memeritkan dan satu tamparan besar dalam misi melangkah ke suku akhir lebih awal.

“Mungkin sedikit kelekaan pada awal permainan memberi padah selepas tumpas 2-3 kepada skuad daripada Liga Perdana itu,” kata pemain berusia 23 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Mad.

Pada aksi itu, skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain dibolosi dua gol seawal lima minit pertama hasil jaringan bekas penyerang TFC, Mohd Ferris Danial Nasir pada minit kedua manakala Almir Neto meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit kelima.

Mengulas lanjut, bekas pertahanan Terengganu FC II (TFC II) menyatakan dia dan rakan sepasukan tekad bangkit memburu kemenangan menentang Kedah pada 13 September depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Dengan tempoh rehat tiga minggu ini, kami akan manfaatkan sebaik mungkin kerana misi kami mahu selesaikan lebih awal selain tidak mahu menunggu aksi terakhir bertemu PKNS pada 17 September bagi menempah slot ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

“Jadi sokongan padu daripada peminat setia amat diperlukan pada perlawanan itu dan saya harap peminat skuad Penyu tidak mengecam kami,” kata bekas anak didik Datuk Ong Kim Swee itu.

Pada aksi pusingan pertama bertemu Kedah, naib juara Piala Malaysia musim lalu berjaya menumpaskan skuad itu 2-0 hasil jaringan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche meskipun beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua susulan penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali dilayangkan kad merah. - Berita Harian