5 ekor anjing jalanan ditembak mati lelaki ini kerana dendam haiwan itu pernah mahu menggigit anaknya


Ahad, 27 Oktober lalu, lima bangkai anjing jalanan ditemui mati dipercayai dibunuh dengan sengaja di kawasan berhampiran Jalan Anggerik Mokara 31/57 Kota Kemuning.

Lima bangkai anjing itu ditemui oleh seorang wanita tempatan ketika mahu memberi makan kepada kira-kira 15 ekor anjing berkenaan. Tiga daripadanya ditemui terbaring mati di atas lantai dan penutup longkang kawasan tersebut. Manakala dua lagi ditemui mati di Food Court Jalan Anggerik Mokara. 

Siasatan awal mendapati, berlaku pendarahan di bahagian telinga dan hidung haiwan itu dan kawasan kejadian pula jauh dari taman perumahan. 

Bangkai-bangkai haiwan itu kemudian dihantar ke Hospital UPM untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Susulan kes itu, hasil maklumat orang awam dan penelitian video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, suspek lelaki berusia 40 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 11.40 malam di Saujana Putra, semalam.

Polis turut menemui selaras senapang angin jenis Sig Sauer P226 bersama dengan lima butir peluru di dalam kereta Proton Saga milik suspek. 

Suspek mengaku menembak lima ekor anjing tersebut sehingga mati kerana dendam di mana sebelum ini anjing-anjing itu katanya pernah hendak menggigit kaki anaknya berusia 7 dan 12 tahun. 

Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut. 



Sumber : thereporter.my