500 AJK Baru Masjid Dilantik


KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 500 orang ahli jawatankuasa  masjid yang baharu saja dilantik telah menerima sijil pelantikan tersebut bagi sesi 2019 sehingga 2022.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Azmi Tengah berkata, sebanyak 136 buah masjid di kawasan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terlibat dalam pelantikan tersebut.

“Jawatankuasa baharu ini berkuatkuasa 1 Oktober 2019 sehingga  30 September 2022.

“Orang yang dilantik  untuk satu tempoh adalah selama tiga tahun dan  saya pun sudah memberikan penjelasan serta taklimat berkaitan dengan tugas jawatankuasa masjid,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Jawatankuasa Masjid di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Shafizi Ismail serta wakil dari Bank Muamalat Malaysia Berhad cawangan Kuala Terengganu.

Justeru itu, beliau berharap agar ahli yang baharu dipilih lebih proaktif dan berperanan sebaik mungkin untuk mengimarah dan memajukan masjid ke arah kecemerlangan yang lebih baik.

“Di samping kita  berhasrat dan bertekad bahawa masjid itu  adalah rumah Allah yang sepatutnya kita jaga  dan imarah serta  sama-sama  beri sokongan ke arah  yang lebih  positif,” tambah beliau.

Sumber: teganukita.net