Bayi 11 bulan maut tersedak susu di taska


Bayi berusia 11 bulan dilaporkan maut tersedak susu di sebuah taska di Kedah dalam kejadian jam 12 tengah hari Khamis. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Ridzuan Salleh berkata, mangsa sebelum itu dihantar ibunya ke taska pada pagi hari kejadian dalam keadaan yang sihat. 

Namun, pengasuh taska mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada jam 12 tengah hari lalu membawanya ke Klinik Kesihatan Jalan Putra untuk mendapatkan bantuan. 

Sebaik tiba di klinik, mangsa sedar dan diberi susu sebelum dibawa pulang semula ke taska. Malangnya, mangsa sekali lagi tidak sedarkan diri sebaik tiba di taska. 

Pengasuh terus menghubungi ibu mangsa yang kemudian membawanya semula ke klinik yang sama. 

Pihak klinik itu kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat. 

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut akibat tersedak susu.

Polis mengambil keterangan dari ibu mangsa dan pengasuh terbabit untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sumber: Astro Awani


Sumber : thereporter.my