Budak 3 tahun mati lemas akibat terjatuh dalam lubang kumbahan


Malang tak berbau, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, hari ini. 

Mangsa, Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz, meninggal dunia akibat lemas dalam lubang kumbahan berkenaan. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dikerahkan ke lokasi kejadian. 

Sebaik tiba, mereka mendapati seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dalam lubang kumbahan itu. 

Bomba terpaksa mengepam keluar air kumbahan bagi memudahkan mayat mangsa dikeluarkan dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my