Empat Fokus Utama Dalam Bajet Terengganu 2020


KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Belanjawan Terengganu 2020 yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), berlangsung pada 24 hingga 28 November depan, memberi fokus terhadap empat teras utama.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keempat-empat teras utama yang akan diberi tumpuan untuk dilaksanakan dalam Belanjawan Terengganu 2020 dirangka berdasarkan jangkaan perolehan yang bakal diterima daripada kerajaan Persekutuan menerusi royalti minyak.

"Kita menganggarkan memperoleh hasil royalti petroleum tidak jauh berbeza daripada sebelum ini.

"Justeru kita menetapkan empat sasaran utama untuk ditekankan pelaksanaannya menerusi anggaran RM1.28 bilion yang bakal diperoleh tahun depan.

Ia termasuk memperkukuh dan memartabatkan agama Islam; memacu pertumbuhan ekonomi rakyat; melestarikan kehidupan sejahtera dan membangunkan modal insan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) di Ladang Tok Pelam, di sini, semalam.

Oleh sebab itu, katanya beliau berharap Kerajaan Pusat terus membayar wang royalti minyak kepada Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani pada 1974.


Sumber: teganukita.net