Fun Ride 2.0 Bentuk Hubungan Baik Antara MDB dan Penduduk



Oleh: Saifullah Jusoh
Foto: Norekwan Mamat, Saifullah Jusoh

BESUT, 6 Oktober - (Panduria) Fun Ride 2.0 diadakan bagi membentuk hubungan baik antara kakitangan Majlis Daerah Besut (MDB) dengan komuniti setempat.

Yang Dipertuanya, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, ia bertujuan untuk memupuk semangat berpasukan dalam menjayakan sebarang aktiviti.

"Aktiviti berbasikal akan membentuk budaya sihat menerusi aktiviti riadah serta memperkenalkan lokasi menarik yang terdapat di daerah ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup program Fun Ride 2.0 di Kota Putera Square, Kampung Raja, pada semalam.


Menurutnya, seramai 1,000 peserta menyertai cabaran Fun Ride 2.0 yang di anjurkan oleh MDB.

Beliau menambah, program tersebut merupakan kali kedua diadakan yang melibatkan kayuhan sejauh 41 kilometer.

"Tawaran hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM40,000 termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15ZR sebagai hadiah utama.

"Pelbagai hadiah lain termasuk basikal dan peralatan elektrik menjadi rebutan cabutan bertuah," ujarnya.


Turut menyertai program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim, Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Mohd. Salleh dan YDP MDB, Ahmad Azizi Zulkifli.

Pelepasan peserta dilakukan oleh Penolong Pegawai Daerah Besut, Siti Mariam Abd. Hamid bersama Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi.

"Peserta berbasikal mengelilingi kampung- kampung di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera sebelum kembali semula ke tempat permulaan di perkarangan Kota Putera Square," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net