HPU Terengganu : Fokus Pendidikan Politik Untuk Anak Muda

Zuraida Md Noor (paling kiri).

Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Penyatuan PAS,UMNO memberi signal kepada semua pihak supaya pendidikan politik terhadap anak muda harus diperkasakan.

Pengarah Ameerah Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, golongan belia perlu memahami politik mengikut acuan Islam agar mereka mampu untuk mencorakkan undang-undang bersama syariat pada masa depan.

“Kita sudah tidak ada masa membahaskan wajar atau tidak anak muda berumur 18 tahun dibenarkan mengundi, tetapi kita perlu mendekati mereka.

“Kita perlu terus fokus tanpa menoleh ke belakang lagi, agenda menawan hati anak muda khususnya di kalangan wanita perlu digiatkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menyertai Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu, di sini semalam.

Menurutnya, walaupun terdapat segelintir pihak yang mahu memecahbelahkan penyatuan PAS dan UMNO, beliau yakin kesepakatan itu akan terus utuh.

"Mereka risau penyatuan rakyat yang memiliki undi teras ini bakal mengubah kedudukan mereka sebagai kerajaan yang memerintah," tambah beliau.

Katanya lagi, beliau yakin kerjasama dibina PAS dan UMNO itu akan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara sejahtera.



Sumber: teganukita.net