Kerang Dan Kerapu Hibrid Jadi Tumpuan Pengunjung Festival Setiu Wetland


Nurwati Mohd.
Oleh : Ariss Alias

SETIU, 28 Oktober - Hasil laut seperti kerang dan ikan kerapu hibrid menjadi tumpuan pengunjung dalam Festival Setiu Wetland.

Peniaga hasil laut terbabit, Nurwati Mohd, 52, yang berasal dari Kampung Pengkalan Gelap berkata, jualannya menjadi tumpuan para pengunjung sejak hari pertama festival bermula pada Jumaat lepas.

"Setakat ini 60 kilogram kerang habis dijual setiap hari. Selain itu, lokan, kepah dan ketam nipah turut menjadi buruan pengunjung.

"Pada hari biasa saya akan membuka gerai di bazar hasil laut Pengkalan Gelap, sudah pastinya dengan penganjuran festival ini dapat memberi peluang kepada peniaga seperti saya menambah pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita di gerai jualannya.

Sementara itu, peniaga ikan kerapu dan siakap, Mohammad Ubaidillah Zulkifli, 29, sangat bersyukur atas sambutan  yang menggalakkan daripada para pengunjung.
Mohammad Ubaidillah.

"Sehingga ke hari ini, sambutan tidak putus-putus daripada orang ramai.

"Ternakan ikan siakap saya warisi daripada ayah saya manakala ternakan ikan kerapu hibrid saya hanya baru mulakan pada tahun ini setelah melihat terdapat banyak pemintaan dalam pasaran," katanya yang menternak sendiri kedua jenis ikan tersebut.

Festival Setiu Wetland yang merupakan anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada seluruh lapisan masyarakat.

Festival yang berlangsung selama empat hari itu bakal berakhir hari ini.

Sumber: teganukita.net