Kewafatan Rasulullah SAW

Posted on Tuesday, October 29, 2019 | 10/29/2019



Rasulullah SAW kembali dari haji wada’ setelah Allah SWT menurunkan firman-Nya:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا.
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.” (An-Nasr: 1-3)

Setelah itu, Rasulullah SAW mula mengucapkan kalimah dan melakukan sesuatu yang menyifatkan perpisahan. Beliau SAW bersabda pada haji wada’:

لتأخذوا عني مناسككم لعلي لا ألقاكم بعد عامي هذا
“Pelajarilah dariku tatacara Haji kalian, boleh jadi aku tidak berjumpa lagi dengan kalian setelah tahun ini.” (HR. Al-Bukhari no. 4430)

Kemudian di Madinah, beliau berziarah ke makam Baqi’, mendoakan keluarganya. Juga menziarahi dan mendoakan syuhada perang Uhud. Beliau juga berkhutbah di hadapan para sahabatnya, berucap pesan seorang yang hendak wafat kepada yang hidup.

Pada akhir bulan Safar tahun 11H, Nabi SAW mula mengeluhkan sakit kepala. Beliau merasakan sakit yang berat. Sepanjang hari-hari sakitnya beliau banyak berwasiat, di antaranya:

  1. Mewasiatkan agar orang-orang Musyrik dikeluarkan dari Jazirah Arab (HR. al-Bukhari, Fathul Bari, 8/132 No. 4431)
  2. Berpesan untuk berpegang teguh dengan Al-Quran.
  3. Pasukan Usamah bin Zaid hendaknya tetap berangkat memerangi Romawi.
  4. Berwasiat agar berbuat baik kepada orang-orang Ansar.
  5. Berwasiat agar menjaga solat dan berbuat baik kepada para hamba.

Nabi SAW mengecam dan melaknat orang-orang Yahudi yang menjadikan kuburan para Nabi sebagai masjid. Lalu beliau melarang kubur beliau dijadikan berhala yang disembah.

Di antara pesan beliau SAW adalah agar orang-orang Yahudi dikeluarkan dari Jazirah Arab, sebagaimana termaktub dalam Musnad Imam Ahmad, 1/195.

Beliau SAW berpesan kepada umatnya tentang dunia. Janganlah berlumba-lumba mengejar dunia. Agar dunia tidak membuat umatnya binasa sebagaimana umat-umat sebelumnya binasa kerana dunia.

Dalam keadaan sakit berat, beliau tetap menjaga adab terhadap isteri-isterinya, dan adil terhadap mereka. Nabi SAW meminta izin pada isteri-isterinya untuk dirawat di rumah Aisyah. Mereka pun mengizinkannya.

Kerana sakit yang kian terasa berat, Nabi SAW memerintahkan Abu Bakar untuk mengimamkan masyarakat. Abu Bakar pun menjadi imam solat selama beberapa hari di masa hidup Rasulullah SAW.

Sehari sebelum wafat, beliau bersedekah beberapa dinar, lalu bersabda:

لا نورث، ما تركناه صدقة
“Kami (para Nabi) tidak mewariskan. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah.” (HR. Al-Bukhari dalam Fathul Bari, 12/8 No. 6730)

Pada hari Isnin, bulan Rabiulawal tahun 11H, Nabi SAW wafat. Hari itu adalah waktu Dhuha yang penuh kesedihan. Wafatnya manusia mulia. Bumi kehilangan orang yang paling mulia yang pernah menginjakkan kaki di atasnya.

Ummul Mukminin Aisyah bercerita: “Ketika kepala beliau terbaring, tidur di atas pehaku, beliau pengsan. Kemudian (saat tersedar) mengarahkan pandangannya ke atas, seraya berucap: ‘Allahumma ar-rafiq al-a’la’.” (HR. Al-Bukhari dalam Fathul Bari, 8/150 No. 4463)

Beliau memilih perjumpaan dengan Allah SWT di akhirat. Beliau SAW wafat setelah menyempurnakan risalah dan menyampaikan amanah.

Berita di pagi duka itu tersebar di antara para sahabat. Dunia terasa gelap bagi mereka. mereka bersedih kerana berpisah dengan al-Khalil al-Mustofa. Hati-hati mereka bergoncang. Tak percaya bahawa kekasih mereka telah tiada. Hingga di antara mereka menyanggahnya. Umar bicara: “Rasulullah SAW tidak wafat, beliau tidak akan pergi hingga Allah memerangi orang-orang munafik.” (Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, 8/146)

Abu Bakar hadir, katanya: “Duduklah Umar”, perintah Abu Bakar pada Umar. Namun Umar menolak duduk. Orang-orang mulai mengalihkan diri dari Umar menuju Abu Bakar. Kata Abu Bakar: “Amma ba’du... Siapa di antara kalian yang menyembah Muhammad SAW, maka Muhammad telah wafat. Siapa yang menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup dan tidak akan wafat. Kemudian dia membacakan firman Allah:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 144)

Mendengar ayat yang dibacakan Abu Bakar, orang-orang seakan merasakan ayat itu baru turun hari itu. Mereka begitu larut dalam kesedihan. Mereka merasakan kosong. Bagaimana tidak, mereka ditinggal orang yang paling mereka cintai. Orang yang mereka rindu untuk berjumpa setiap hari. Orang yang lebih mereka cintai dari ayah, ibu, anak, dan semua manusia. Mereka lupa akan ayat itu. Dan mereka diingatkan oleh Abu Bakar, seorang yang paling kuat hatinya di antara mereka.

Oleh: Nurfitri Hadi | Kisah Muslim
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 10/29/2019

0 comments:

Loading...