Maksud Malaikat Menjauhi Rumah Orang Berjunub


SOALAN:
Tersebut pada hadith bahawa Malaikat tidak masuk rumah orang yang junub. Apakah maksud sebenar hadith tersebut? Dan adakah semua Malaikat tidak masuk ke dalam rumah orang junub?

JAWAPAN:
Maksud orang junub dalam hadith tersebut ialah orang yang tidak melakukan mandi hadas kerana meringan-ringankan kewajipan mandi dan melambatkannya hingga terkeluar dari waktu solat. Dan Malaikat yang dimaksudkan itu ialah Malaikat Rahmat.

Tersebut pada himpunan fatwa mufti negeri Mesir:

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib r.a dari Nabi saw bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلَا كَلْبٌ وَلَا جُنُبٌ
“Tidak masuk oleh Malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung dan anjing dan orang yang junub.” [Riwayat Abu Daud dan Nasaa'i]

Dan bermula maksud dengan perkataan junub di dalam hadith itu ialah orang yang meringankan perintah mandi hadas dan membiasakan dirinya dengan melambatkan solat dari waktunya.

Berkata As-Sanaadi pada Hasyiah Sunan Nasaai: “Sabda Nabi saw tidak masuk Malaikat itu maksudnya ialah ditanggung atas Malaikat Rahmat dan barakah. Bukannya Malaikat Hafazah maka sesungguhnya Malaikat Hafazah itu tidak bercerai dengan orang junub dan juga orang yang selainnya. Dan ditanggungkan makna junub itu ialah orang yang junub yang meringankan kewajipan mandi dan menjadikannya kebiasaan bukannya orang junub yang melambatkan mandi kerana menunggu waktu solat.”

Dan atas inilah maka melambatkan mandi dengan sekira-kira membawa kepada mengeluarkan solat dari waktunya adalah haram disisi syarak.

Sayugia bagi sekalian orang Islam bersegera dengan mandi dari janabah sehingga tidak membawa kepada ketiadaan mandi yang menyebabkan menjauh oleh Malaikat Rahmat dan barakah dari tempat yang dia sedang berada itu.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media