Maksud Tahnik Bayi Dan Hukumnya

Posted on Sunday, October 13, 2019 | 10/13/2019



SOALAN:
Apakah ertinya tahnik bayi yang baru dilahirkan? Dan apakah hukumnya?

JAWAPAN:
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a kata beliau:

وُلِدَ لِي غُلامٌ فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآله وسَلَّمَ فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَيَّ
“Telah dilahirkan bagiku seorang anak lelaki lalu aku bawa anakku itu kepada Nabi saw maka Nabi saw menamakannya dengan Ibrahim dan kemudian Nabi saw mentahniknya dengan buah kurma dan berdoa kepadanya dengan kebaikan. Kemudian baginda memberikan anak itu semula kepadaku.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Erti tahnik ialah menggosok dengan kurma akan langit-langit di dalam mulut bayi. Ia dilakukan selepas melembutkan kurma yang kering. Amalan tahnik ini adalah sunat hukumnya kerana hadith yang disebut di atas.

Buah kurma yang digunakan ialah buah kurma kering. Maka jika tiada kurma kering maka dengan kurma yang basah. Dan jika tiada sebarang kurma maka boleh dengan suatu yang manis. Dan madu adalah lebih afdhal dari yang lainnya. Dan jika tiada suatu yang manis maka dengan suatu makanan yang tidak dimasak. Bandingannnya sama dengan apa yang afdhal ketika berbuka puasa.

Berkata Imam Nawawi:

السُّنَّةُ أَنْ يُحَنَّكَ الْمَوْلُودُ عِنْدَ وِلَادَتِهِ بِتَمْرٍ بِأَنْ يَمْضُغَهُ إنْسَانٌ وَيُدَلِّكَ بِهِ حَنَكَ الْمَوْلُودِ وَيَفْتَحَ فَاهُ حتى ينزل إلى جوفه شيء مِنْهُ، قَالَ أَصْحَابُنَا: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ تَمْرٌ فبشيء آخَرَ حُلْوٍ
“Dan yang sunnah ialah mentahnik bayi ketika dilahirkan dengan buah kurma dengan cara dikunyahnya dahulu kemudian menggosok di dalam mulut bayi di bahagian langit-langitnya dan dibukakan mulutnya biar sampai ia ke dalam perutnya sedikit. Berkata ashab kami: Maka jika tidak ada kurma maka dengan satu yang manis.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 10/13/2019

0 comments:

Loading...