'Memang kami kasihan lihat keadaannya begitu tetapi...' - Anak OKU dikurung dalam reban ayam

Posted on Tuesday, October 08, 2019 | 10/08/2019



Pasangan suami isteri mengurung anak mereka berusia 12 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di dalam reban ayam di belakang rumah di Pamekasan, Jawa Timur. 

Reban berukuran satu meter panjang dan 0.5 meter lebar dibuat dari kayu dan buluh menjadi tempat tinggal mangsa, Moh Efendi, tanpa pakaian, makan, minum, buang air serta tidur. Malah dia pernah memakan dedak lembu kerana terlalu lapar. 

Ketika dikunjungi oleh wartawan Kompas pada Jumaat lalu, Efendi berusaha berdiri dan berpegang ke bilah buluh cuba memegang tangan dan baju sebelum ketawa riang. Namun apabila wartawan berkenaan mahu beredar, Efendi meronta-ronta seperti meminta dibebaskan dari reban itu. 

Difahamkan, kanak-kanak itu mengalami kecacatan sejak berusia tiga tahun apabila dia tidak dapat berjalan atau bercakap. Efendi hanya dapat bergerak dengan merangkak. 

Menurut keluarganya, Efendi pernah ditempatkan di surau ketika mereka keluar bekerja di sawah, tetapi Efendi merangkak keluar dan memakan apa saja yang ditemuinya termasuk dedak lembu, kulit buah, daun dan bunga. 

Keadaan itu menyebabkan Hamzah, 47, dan Latifah, 36, tiada pilihan lain dan terpaksa mengurung anak ketiga mereka itu bagi mengurangkan rasa bimbang mengenai keselamatannya ketika keluar bekerja. 

Pernah sekali Efendi hilang dari rumah dan ditemui di kawasan pinggir sungai pada tengah malam dan kejadian itu membuatkan pasangan berkenaan tekad untuk mengurung Efendi. 

"Memang kami kasihan melihat keadaannya begitu namun inilah nasib keluarga kami. Saya dan isteri perlu bekerja mencari rezeki untuk terus hidup," kata Hamzah. 

Hamzah menjelaskan, mereka pernah berusaha merawat Efendi dengan kaedah rawatan tradisional, ini termasuk separuh badan Efendi ditanam separuh dalam kubur menerusi kaedah ritual. Selain itu, Efendi juga pernah menjalani terapi di hospital tetapi hanya sekali sahaja kerana mereka tidak mampu berulang alik. 

Sementara itu, Ketua Kampung Desa Angsana, Moh Masduki berkata, pihaknya pernah membantu untuk merawat kanak-kanak terbabit tetapi selepas dua kali, ibu bapa Efendi menghentikannya atas alasan tiada wang untuk menghantar Efendi ke hospital selain memberi alasan sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk bersama dengan Efendi di hospital. 

Ekoran itu, pihak Masduki akan menyediakan kenderaan untuk menghantar Efendi ke hospital dan mengatur agar rawatan adalah percuma. Beliau juga meminta agar Hamzah dan isterinya menyediakan ruang yang lebih selesai untuk Efendi. 

Sumber: Kompas, Harian Metro


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/08/2019

0 comments:

Loading...