Pelajarilah Ilmu Faraid Harta Pusaka

Muhammad Ramlan Mahmood

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Ilmu faraid sangat berguna kepada setiap orang Islam malah kewujudan ilmu ini bertujuan memberi kemudahan dan kefahaman kepada masyarakat betapa pentingnya untuk tahu dan mahir tentang faraid.

Pengarah Akademi Didik Utama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Muhammad Ramlan Mahmood berkata hari ini umat Islam semakin melupakan satu ilmu yang amat penting iaitu bagaimana menguruskan harta selepas kematian.

"Hari ini lebih satu juta kes pusaka tidak diselesaikan dengan nilai lebih RM40 billion dan antara faktornya ialah kejahilan tentang ilmu faraid, kejahilan tentang kaedah pengurusan harta pusaka, cabaran yang dihadapi sepanjang menguruskannya dan kos yang perlu ditanggung oleh waris sepanjang proses.

""Faktor-faktor ini menyebabkan mereka melambatkan proses bahkan ada yang melupakan terus proses tersebut lebih-lebih lagi jika harta yang ditinggalkan simati tidak seberapa sedangkan hukum menguruskan harta pusaka adalah wajib," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan  Wacana Ilmu Bersama Daie:Pengurusan Harta Pusaka Dan Pembahagian Faraid di Duyong Marina Resort, hari ini.


Tambahnya, ilmu ini menjadi asas kepada pengurusan harta pusaka.

"Mengetahuinya menjadikan kita tahu siapa waris kita, apa keadaan-keadaan yang akan berlaku kepada pengagihan harta nanti seterusnya ia membantu kita merancang harta semasa kita hidup.

"Mempelajari ilmu faraid bukan setakat berkenaan pembahagian harta sahaja tetapi perlu diketahui kaedah pengurusan dan bidang-bidang perundangan yang perlu dilalui," ujarnya lagi.


Beliau turut berazam untuk menjadikan DUAT sebagai agensi kerajaan negeri yang memainkan peranan besar dalam membimbing rakyat hidup di bawah naungan agama Islam yang syumul menerusi pendekatan yang kontemporari.



Sumber: teganukita.net