Piala ADUN Tepuh Milik Tanjung Gelam FC


Oleh : Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS, 27 Oktober - Tanjung Gelam FC (TGFC) muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala YB ADUN Tepuh 2019 yang berlangsung di Stadium Kompleks Gong Badak semalam.

Pasukan itu menumpaskan Taman Perumahan Wakaf Tengah FC (TPWTFC) melalui jaringan tunggal Norisham Kamarudin pada minit akhir perlawanan hasil kesilapan dari penjaga gol yang gagal menangkap kemas bola itu. 

Kali terakhir TGFC ke final adalah pada tahun 2017, namun gagal muncul juara setelah tewas kepada Taman Perumahan Gong Badak 4 menerusi penentuan sepakan penalti. 

Selaku juara,TGFC membawa pulang trofi dan piala iringan berserta wang tunai berjumlah RM3,000.

Penjaga gawang TGFC, Mohd Syafiq Borhan
 turut dianugerah penjaga gol terbaik perlawanan.

TPWTFC juga tidak pulang tangan kosong sekali gus  membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 sebagai Naib Juara, mereka juga membolot dua anugerah iaitu pemain terbaik melalui Syed Aizuddin dan penjaring terbanyak Razman Yusof dengan mengumpul 8 gol sepanjang kejohanan.

Sebelum itu, TGFC mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Banggol Binjai FC 2-1 manakala TPWTFC menundukkan Banggol Tok Jiring FC 4-0.

Hadiah disampaikan oleh Yang Berhormat ADUN Tepuh Hishamuddin Abdul Karim. Turut hadir Ustaz Mohd Shafizi Ismail Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit.

Kejohanan itu berlangsung selama dua bulan bermula bulan Ogos lalu  disertai 28 pasukan.


Sumber: teganukita.net