Terengganu FC berputih mata, Kpah Sherman dirisik pasukan lain


Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengakui berhasrat untuk mendapatkan penyerang sensasi yang menjaringkan 14 gol dalam saingan Liga Super 2019, Kpah Sherman.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim penyerang berasal dari Liberia itu telah dirisik oleh pasukan lain.

Terdahulu, menurut laporan Bernama, beliau turut mendedahkan dua pemain import iaitu Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov akan kekal menyarung jersi skuad Hitam Putih memandangkan mereka masih mempunyai kontrak sehingga penghujung tahun 2020.

Namun, untuk khidmat dua lagi pemain iaitu penyerang, Tchetche Kipre dan pemain tengah, Thierry Chantha Bin nasib mereka akan terletak di tangan pengendali Terengganu FC yang akan dilantik pada selasa ini.

“Bagi urusan pemilihan pemain, pihak pengurusan PBSNT akan serahkan sepenuhnya mandat kepada ketua jurulatih kerana beliau lebih mengetahui kualiti atau ciri yang diinginkan.

“Namun kita ada juga ‘mengintai’ pemain-pemain import lain seperti penyerang sensasi PKNS FC, Kpah Sherman yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super musim ini tetapi khabarnya sudah dirisik pasukan lain,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Selain daripada itu, pasukan simpanan mereka, Terengganu FC II akan turut menerima ketua jurulatih baharu. Justeru, empat pemain import yang menyarung jersi ‘feeder club’ itu akan turut diserahkan kepada budi bicara jurulatih baharu kelak.

Hishamuddin turut menjelaskan bahawa kontrak pengendali Terengganu FC II sebelum ini, Tengku Hazman Raja Hassan tidak disambung bukan disebabkan oleh kegagalan jurulatih berusia 42 tahun itu mempertahanankan kejuaraan Challenge Cup musim ini.

“Kontrak keempat-empat pemain import pasukan TFC ll iaitu Akanni Sunday, Bruno Suzuki, Dechi Marcel dan Serhii Andrieieve tamat tahun ini dan saya serah kepada bakal jurulatih untuk tentukan sama ada mahu sambung atau bagaimana.

“Tentang Tengku Hazman pula kita hargai jasa beliau selama ini, tetapi PBSNT mempunyai perancangan lain untuk memastikan kesinambungan bola sepak negeri,” tambah Hishamuddin lagi. - Foxsports