Terengganu FC tinggal selangkah untuk juarai Sheikh Kamal International Club Cup


Chattogram : Jaringan hatrik daripada ketua pasukan, Lee Tuck dan satu jaringan daripada pemain muda, Muhammad Syafik berjaya membawa pasukan Terengganu FC (TFC) ke pentas akhir kejohanan Sheikh Kamal International Club Cup 2019 selepas menewaskan kelab dari Liga India, Mohun Bagan FC, 4-2.

Mereka akan menentang pasukan tuan rumah, Chittagong Abahani yang berjaya menewaskan satu lagi kelab dari India, Sree Gokulam Kerala, 3-2 di peringkat separuh akhir.

Walaupun skuad TFC kebanyakan dibarisi oleh pemain muda, mereka berjaya menampilkan aksi positif dan memperolehi pengalaman yang berguna di peringkat antarabangsa dalam proses mematangkan mereka.



Sebelum ini TFC menewaskan juara Liga India, Chennai City FC (5-2) dan terikat tanpa jaringan dengan kelab Bangladesh, Dhaka Abahani. Kemudian, mereka mencatat kemenangan ke atas Bashudhara Kings, 4-2 sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan.

Kejohanan itu disertai oleh 8 kelab dari negara yang berbeza dari Maldives, India, Laos, Malaysia dan tuan rumah sendiri, Bangladesh. 8 kelab ini dibahagikan kepada dua kumpulan yang mempunyai 4 pasukan.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada hari esok pukul 8.00 malam waktu Malaysia. Juara kejohanan ini akan membawa pulang 50,000 Dollar. - Vocketfc