Terima kasih Terengganu FC!



TONGGAK pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan meluahkan rasa lega apabila khidmatnya masih diperlukan skuad Penyu itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, pemain berasal dari Negeri Sembilan itu mengakui saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Nafuzi Zain musim depan pasti lebih mencabar kerana terpaksa ‘berentap’ dengan muka baharu.

"Alhamdulillah, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan barisan jurulatih masih memberi kepercayaan kepada saya untuk membarisi TFC musim depan.

"Tahun depan musim keempat saya bersama Terengganu bermula dengan saingan Liga Perdana pada 2017, jadi apabila jurulatih menawarkan tempat, saya tidak berfikir panjang lebih-lebih lagi selepas mengambil kira keluarga yang sudah selesa menetap di Terengganu.

"Selain itu, hati saya begitu dekat dengan peminat setia di sini menguatkan lagi saya membuat keputusan untuk terus beraksi bersama TFC.

"Azam saya musim depan sudah tentu mahu memperagakan aksi terbaik berbanding musim ini selain memperbaiki pencapaian sama ada dalam saingan liga atau Piala Malaysia dan Piala FA seterusnya menjulang trofi," ujar pemain yang lebih dikenali sebagai Anas itu.

Pada awal musim, pemain kelahiran Kedah itu bergandingan dengan pemain dari Montenegro, Igor Zonjic sebelum digandingkan dengan pemain dari Ukraine, Serhi Andrieiev selepas kontrak Zonjic ditamatkan pada jendela perpindahan kedua pemain.

Ketika ditanya adakah pasukan lain berminat untuk mendapatkan khidmatnya, tanpa berselindung Anas mengakui ada beberapa pasukan cuba memikatnya untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan.

"Setakat ini, ada empat pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Perdana menawarkan kontrak termasuk TFC namun saya menolaknya dengan baik kerana saya sudah 'jatuh hati' dengan skuad Penyu," ujar Anas. - Berita Harian